PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menghargai sokongan yang diberikan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sedia melepaskan pemain terbaik mereka menyertai pasukan kebangsaan.
Menurutnya, barisan kejurulatihan Harimau Malaya turut mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan kelab untuk membolehkan pasukan negara tampil dengan persembahan positif dalam setiap aksi antarabangsa.
"Kami bersatu serta bekerjasama dengan semua pihak dan saya sangat menghargai sokongan penuh daripada FAM, Liga Malaysia dan pasukan kelab," katanya pada Sabtu.
Dalam panggilan kem kebangsaan pada jendela FIFA, Pan-gon sentiasa mendapat sokongan daripada JDT dan kelab lain yang sedia melepaskan pemain terbaik mereka bersama Harimau Malaya.
Skuad negara berjaya meneruskan rentak positif dan belum lagi tewas dalam aksi persahabatan tahun ini termasuk kejutan mengikat Syria yang berada di ranking ke-94 dunia dan China (ranking ke-80) di Chengdu.
Sebelum ini, Malaysia meraih empat kemenangan berturut-turut menewaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 di Johor pada Mac lepas.
Skuad kendalian Pan-gon itu seterusnya menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 masing-masing di Terengganu pada Jun lepas.
Selepas ini, Harimau Malaya akan mengharungi saingan Pestabola Merdeka pada Oktober sebelum aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November dan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.