SHAH ALAM - AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) memperkenalkan Menu Kasih dengan tawaran harga serendah RM2.50 kepada pengunjung sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu.
Pengurus Kanan Media dan Programnya, Siti Liyana Abu Noor berkata, antara Menu Kasih yang ditawarkan sepanjang karnival itu ialah bihun goreng (RM2.50), nasi bujang (RM2.90), nasi goreng (RM4.20) dan nasi ayam teriyaki (RM6.60).
Menurutnya, selepas tamat promosi Menu Rahmah di bawah Program Payung Rahmah yang dicetuskan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, AEON BiG menjenamakan semula menjadi Menu Kasih.
"Selain itu, kami turut menjual barangan makanan dan minuman (F&B) seperti ayam goreng, roti-roti dari AEON Delica, ais krim dan snek yang dijual pada harga sama di pasar raya tersebut.
"Kami menerima maklum balas positif daripada kalangan pengunjung berkenaan produk makanan yang dijual seperti ayam goreng ini sangat murah, berpatutan dan sedap berbanding makanan segera lain,” katanya ketika ditemui di reruai AEON BiG pada Ahad.
Karnival dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan temanya iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.
AEON BiG merupakan antara 100 pempamer yang terlibat membuka reruai selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Petrosains di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.
Tambah Siti Liyana, reruai AEON BiG mendapat sambutan yang hangat dan barangan jualan terpaksa ditambah setiap dua jam sekali bagi menjamin bekalan makanan tidak terputus.
"Setiap dua jam, kami akan menghantar stok makanan dan minuman di sini kerana pengunjung yang tidak henti datang selepas penat membuat pelbagai aktiviti selain cuaca yang panas.
"Pengunjung juga melebihi sasaran kami iaitu hampir 7,000 berbanding 5,000 orang selama tiga hari ia berlangsung.
"Sambutan sangat menakjubkan kerana pada hari pertama sahaja sudah 75 bas datang.
"Ia peluang yang sangat baik untuk AEON BiG ketengahkan produk dan jenama kami kepada orang ramai serta saya berharap kami dapat menyertainya lagi pada masa akan datang,” ujarnya.