SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurangkan politik sempit dan memperbaiki mekanisme perhubungan awam supaya setiap inisiatif yang dilakukan dirasai oleh rakyat.
Presidennya, Jufitri Joha berkata, kerajaan juga diminta untuk terus memberikan tumpuan terhadap agenda pembangunan negara kerana belia serta rakyat meletakkan harapan tinggi sehingga mahu melihat kesungguhan pihak kerajaan melaksanakan janji manifesto.
Menurutnya, MBM menyifatkan pencapaian setahun kerajaan PH berada di tahap sederhana namun semua rakyat Malaysia perlu memberikan ruang kepada kerajaan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan.
"Melalui pemerhatian umum MBM, pengundi muda terbahagi kepada dua jenis iaitu satu kelompok yang mengundi untuk melihat reformasi pentadbiran dan institusi manakala sekelompok lagi mengundi untuk mengharapkan soal periuk nasi mereka ditangani sebaiknya.
"Justeru kerajaan perlu mempercepatkan usaha penubuhan jawatankuasa Kabinet menangani pengangguran di kalangan anak muda dengan berusaha keras dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun meningkatkan gaji minima ke paras RM1,800.
"Kerajaan juga perlu memikirkan kaedah dan tindakan segera untuk merealisasikan cadangan Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda sebagaimana yang terkandung di dalam Iltizam Anak Muda Manifesto PH, antara lain merangkumi elaun sara hidup pelajar miskin yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, katanya, inisiatif Bank Makanan yang telah digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP perlu diperluas secepat mungkin.
Tambahnya, cadangan lain adalah mempertingkatkan limpahan pembangunan dan kemudahan yang seimbang di semua wilayah khususnya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis, Kelantan dan Terengganu termasuk permintaan khusus belia Kelantan untuk memanjangkan stesen Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.
"Mempertingkatkan akses dan kelajuan internet sehingga ke kawasan kampung seperti di kawasan orang asli di Lojing, Gua Musang bagi menggalakkan ekonomi digital dan mengelakkan penghijrahan belia ke bandar yang akan menyebabkan kemiskinan Bandar.
"Mendesak kerajaan memperuntukkan dana untuk latihan e-Usahawan dan e-Rezeki di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menggalakkan penglibatan belia dan rakyat dalam ekonomi digital sekali gus merancakkan ekonomi negara,” jelasnya.
Jufitri berkata, mengkoordinasi dan menangani ekonomi serta sosial golongan belia berpendapatan sederhana (B40) bandar khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga antara cadangan pihaknya.
"Prmudahkan juga geran agropreneur muda yang dilihat agak ketat dan mengambil masa lama bagi menggalakkan anak muda menceburi bidang pertanian sekali gus menjaga kedaulatan makanan negara.
"Memuktamadkan segera mungkin polisi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menghapuskan ujrah serta cadangan terakhir, mempertingkatkan dana Perbadanan Tabung Pinjaman Kemahiran (PTPK),” katanya.
Justeru, Jufitri berkata, MBM akan terus memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak dan rakan strategik pembangunan negara bagi bersama-sama membangunkan belia dan negara.