Iltizam kerajaan diperlukan, elak isu beras jadi krisis

Iklan
Gambar hiasan.

MUTAKHIR ini, isu kenaikan harga beras menjadi perhatian rakyat Malaysia, sekali gus menimbulkan kebimbangan. Sama ada beras itu diimport atau keluaran tempatan, ia merupakan sumber makanan utama rakyat di negara ini dan tidak boleh dipandang ringan semua pihak.

Beras juga bukan setakat melibatkan isu kos sara hidup rakyat semata-mata, sebaliknya turut dianggap antara isu yang boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan negara.

Iklan
Iklan

Punca kenaikan harga serta kekurangan bekalan beras putih import atau dikenali SSI (Super Spesial Import) ini didorong oleh peningkatan permintaan yang tinggi di pasaran berbanding kekurangan bekalan disebabkan beberapa faktor tertentu.

Bernas atau Padiberas Nasional Berhad merupakan pengimport tunggal di negara ini memaklumkan, kenaikan harga dari RM2,350 kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa 1 September lalu adalah kerana situasi ketidaktentuan global seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

Iklan

Sepatutnya kenaikan harga beras SSI tidak begitu sangat dirasai kerana negara mempunyai bekalan beras keluaran tempatan atau dikenali sebagai SST (Super Spesial Tempatan) sebagai pengganti.

Namun, hakikat yang berlaku ialah bekalan SST juga dikatakan kurang untuk memenuhi permintaan rakyat sehinggakan kerajaan terpaksa mengarahkan pengilang padi dan pemborong beras meningkatkan 20 peratus Bekalan Beras Putih (BPT) sebagai langkah intervensi bagi memulihkan bekalan.

Iklan

Tidaklah mahu membuat dakwaan atau tuduhan liar, namun adakah bekalan SST dalam negara ini benar-benar cukup? Berdasarkan laporan media-media tempatan, bekalan SST juga kurang serta sukar didapati di pasaran.

Ada banyak teka-teki di sebalik perkara ini. Ada yang kata bekalan beras tempatan tidak cukup, ada pula mendakwa berlakunya aktiviti ‘tukar baju’ (tukar bungkusan).

Ada juga mengatakan wujudnya aktiviti mencampurkan beras SST dan beras SSI dan dijual kepada pengguna. Semuanya bentuk penyelewengan itu adalah untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Inilah yang menjadi persoalan serta isu besar yang kadangkala memeningkan semua pihak khususnya kerajaan sejak dahulu lagi.

Melihat daripada situasi ini, iltizam kerajaan amatlah diperlukan bagi memastikan keluhan serta keresahan rakyat dapat ditangani dengan sebaik-baiknya.