PEMAIN tengah Juventus dan Perancis, Paul Pogba berdepan ujian sukar dalam kariernya apabila digantung sementara selepas positif ujian doping.
Ia susulan peningkatan tahap testosterone dikesan dalam badannya, kata badan antidoping Itali (NADO) kepada AFP pada Selasa.
Selepas musim mencabar akibat masalah kecederaan dan skandal peras ugut, impian pemain 30 tahun itu untuk kembali mencorak kariernya terjejas dengan dakwaan doping itu.
Pogba pada 20 Ogos lalu hanya memanaskan bangku simpanan ketika Juventus menewaskan Udinese 3-0.
Dia yang membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 pernah memberitahu Al Jazeera hasratnya untuk bermain semula selepas tahun sukar yang boleh memusnahkan kerjayanya.
NADO memaklumkan, Pogba melanggar peraturan antidoping apabila bahan terlarang 'testosterone metabolites' bukan semula jadi dikesan dalam badannya.
Dalam satu kenyataan, Juventus berkata, Pogba dikenakan hukuman gantung sementara.
"Kelab berhak menimbangkan langkah seterusnya selepas ini," kata kenyataan itu.
Ujian itu membabitkan sampel A dan jika sampel B turut positif, Pogba berdepan hukuman gantung empat tahun.
Menerusi mesej dihantar kepada AFP, ejen Pogba, Rafaela Pimenta berkata, dia menunggu keputusan sampel kedua dan tidak boleh memberi pendapat sebelum keputusan itu diperoleh.
"Apa yang pasti, Paul Pogba tidak pernah mahu melanggar undang-undang," katanya.
Pogba menyertai semula Juventus pada Julai 2022 dari Manchester United.
Sejak 2012 hingga 2016, dia membantu Juve memenangi empat gelaran Serie A dan dua Piala Itali, selain mara ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2015.