NEW YORK - Lebih 1,000 mangsa masih gagal dikenal pasti ketika Amerika Syarikat memperingati ulang tahun ke-22 serangan 9/11 pada Isnin, lapor Xinhua.
Satu upacara memperingati telah diadakan pada Isnin di Memorial & Muzium 11 September Kebangsaan di Lower Manhattan, New York, di mana 2,977 orang yang terbunuh dalam serangan 11 September 2001 diberi penghormatan.
Iklan
Iklan
Beberapa hari sebelum itu, identiti dua mangsa - seorang lelaki dan seorang wanita yang namanya dirahsiakan atas permintaan keluarga mereka telah diumumkan.
Dua identiti berkenaan mewakili mangsa ke-1,648 dan ke-1,649 yang dikenal pasti sejak 2001 menggunakan ujian lanjutan oleh Makmal DNA New York City, menurut kenyataan media pejabat Datuk Bandar pada Jumaat.
Bilangan responden pertama 9/11 yang telah meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan berkaitan Ground Zero hampir sama dengan bilangan responden pertama yang meninggal dunia semasa serangan.
"Apabila menara runtuh pada hari yang mengerikan itu, kami kehilangan 343 Anggota Bomba Bandar New York....Pada tahun-tahun berikutnya, lebih 341 lagi ahli FDNY telah meninggal dunia akibat kanser dan penyakit yang jarang berlaku disebabkan oleh habuk toksik di Ground Zero," Persatuan Anggota Bomba Beruniform Greater New York menerusi catatan Facebook pada Isnin. -Bernama-Xinhua