BN senarai pendek empat calon DUN Pelangai

Iklan
Wan Rosdy (dua dari kanan) ketika menyerahkan Bantuan Prihatin Pahang kepada siswa di DUN Pelangai pada Isnin.

BENTONG - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendedahkan sudah menyenarai pendek empat daripada enam nama sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurutnya, satu perbincangan akan diadakan bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum keputusan dimuktamadkan bagi kerusi DUN tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita belum membuat sebarang keputusan nama yang terpilih dan sekarang masih diperhalusi. Insya-ALLAH nama calon akan diumumkan sebelum 23 September ini," kata beliau selepas Majlis Agihan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa/Siswi 2023 di Dewan Orang Ramai di Felda Kemasul di sini pada Isnin.

Seramai 126 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) DUN Pelangai menerima wang saku melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM37,800.

Iklan

Ditanya isu calon anak tempatan, Wan Rosdy menyifatkan ia perkara biasa dalam mana-mana pilihan raya.

"Namun kita cari yang terbaik. Antara kriteria adalah 'wali' dan boleh menang, disukai orang ramai," kata beliau lagi.

Iklan

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 3 Oktober hari pengundian awal.

Sementara itu, mengulas mengenai Bantuan Prihatin Pahang, Wan Rosdy memberitahu, kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM8 juta dengan setiap penerima menerima RM300 seorang berbanding RM200 pada tahun lepas.

"Kita akan naikkan kepada RM400 pada tahun hadapan berbanding RM300 pada tahun ini.

"Semoga insentif daripada kerajaan negeri ini dapat meringankan perbelanjaan harian dan membantu urusan pelajaran mereka di menara gading. Insya-ALLAH," tambah beliau.

Ketika ini kira-kira 18,000 anak-anak Pahang sedang melanjutkan pengajian di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.