JURULATIH Jurgen Klopp disebut-sebut sebagai calon sesuai untuk menggantikan Hansi Flick membimbing Jerman menjelang Euro 2024.
Selain Klopp turut berada dalam radar Jerman ialah bekas pengendali Bayern, Julian Nagelsmann dan Oliver Glasner yang menyerlah di Eintracht Frankfurt dan Wolfsburg.
Ketiadaan Flick yang dipecat Ahad lalu, Jerman dibimbing sementara Rudi Voller.
Di sebalik spekulasi itu, Klopp dilihat mahu kekal bersama The Reds dan akan menghabiskan kontraknya di Anfield sebelum memikirkan untuk mengambil alih pasukan kebangsaan negara asalnya.
Jerman dibelasah 1-4 oleh Jepun yang diterajui pemain tengah Liverpool, Wataru Endo dalam aksi persahabatan Sabtu lalu.
Biarpun Klopp tidak menolak kemungkinan akan menggalas tugas itu pada masa depan, dia dijangka kekal di Anfield sehingga kontraknya tamat tiga tahun lagi.
Laporan di Jerman menyebut badan induk bola sepak negara itu akan cuba mendapatkan Klopp pada akhir musim ini, tetapi Nagelsmann yang masih mempunyai kontrak bersama Bayern dilihat sebagai pilihan utama.
"Jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan adalah satu penghargaan besar. Masalah besar yang menjadi penghalang ialah kesetiaan saya.
"Ia tugas yang menarik, tetapi saya belum pasti sama ada akan melakukan perkara lain selepas meninggalkan Liverpool,” ujar Klopp.