Kim Jong Un tiba di Rusia bagi hadiri sidang kemuncak bersama Putin

Iklan
Jong Un tiba pada Selasa bagi hadiri sidang kemuncak yang jarang berlaku dengan Putin. - Foto AFP

SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tiba di Rusia awal Selasa, kata seorang pegawai di kementerian pertahanan Korea Selatan.

Menurut agensi berita Yonhap, Jong Un akan mengadakan sidang kemuncak yang jarang berlaku dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, dengan kebimbangan semakin memuncak mengenai kemungkinan perjanjian senjata antara Pyongyang dan Moscow.

Iklan
Iklan

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) mengesahkan bahawa Jong Un telah meninggalkan Pyongyang menuju ke Rusia dengan menaiki kereta api petang Ahad, diiringi pegawai kanan parti pemerintah dan angkatan tentera.

Beberapa jam selepas laporan KCNA, jurucakap di kementerian pertahanan Korea Selatan, Jeon Ha Kyou memberi penilaian bahawa kereta api Jong Un telah menyeberang Rusia pada awal Selasa.

Iklan

Saluran media Rusia"Vesti Primorye" juga melaporkan bahawa kereta api Jong Un tiba di bandar Khasan pada Selasa dan sedang menuju ke bandar Ussuriysk.

Namun, ia masih belum diketahui di mana Jong Un dan Putin akan mengadakan pertemuan.

Iklan

Kremlin mengumumkan bahawa rundingan antara wakil-wakil Korea Utara dan Rusia dijadualkan semasa lawatan Kim, termasuk perbincangan mengenai kemungkinan pertemuan bersemuka antara pemimpin-pemimpin itu.

Lawatan itu menjadi lawatan pertama Jong Un ke Rusia dalam tempoh lebih empat tahun dan kunjungan pertamanya ke luar negara sejak penularan wabak Covid-19.

Ketika Korea Utara dan Rusia mengesahkan kunjungan Kim ke negara itu, Amerika Syarikat menyeru Pyongyang agar tidak menyediakan senjata kepada Rusia. - Bernama-Yonhap