Anak pemilik madrasah jalani khidmat masyarakat 120 jam

Iklan
Sebahagian daripada 12 pesalah muda yang menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) membersihkan sampah di Dataran Batu Buruk di Kuala Terengganu, pada Selasa.

KUALA TERENGGANU -"Saya menyesal sebab terlalu ikut kawan-kawan bawa motosikal secara berbahaya sehingga terpaksa jalani hukuman ini, demikian luah seorang pesalah muda yang kini menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama 120 jam di sini.

Anak kepada pemilik madrasah berusia 20 tahun dikenali sebagai Wan itu berkata, dia menjalani hukuman itu selama 12 bulan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Iklan
Iklan

"Bila terpaksa jalani hukuman ini masa yang saya sepatutnya habiskan untuk belajar dan bersama keluarga terganggu.

"Kadang-kadang bila tengok kawan-kawan yang lain boleh habiskan masa bersama keluarga sebaliknya saya terpaksa korbankan masa untuk habiskan tempoh hukuman ini.

Iklan

"Saya menyesal kerana terpengaruh dengan rakan. Nasihat saya kepada semua mat mat rempit, sudah, sudahlah buat kerja-kerja ni sebab tak ada gunanya. Bukan hanya susahkan diri sendiri malah keluarga pun terkesan sama," ujarnya.

Wan yang berasal dari Losong, di sini ditemui pemberita ketika menjalani PKM di Dataran Batu Buruk, di sini bersama 12 lagi pesalah muda yang lain pada Selasa.

Iklan

Anak keenam dari sembilan beradik itu kini menyambung pengajian di madrasah di Kuala Nerus dan menguruskan madrasah milik bapanya.

Sementara itu, seorang lagi pesalah muda dikenali sebagai Mohd, 21 yang menjalani hukuman sama berkata, dia turut menyesali perbuatan salah yang dilakukan sebelum ini dan berjanji tidak akan mengulangi tindakan serupa selepas ini.

"Saya terlibat dengan kesalahan ini sebab pengaruh kawan-kawan yang menunggang motosikal secara berkumpulan.

"Bila dah kantoi dan terpaksa pula jalani hukuman ini saya insaf dan menyesal dan tak akan ulangi lagi sebab banyak rugi masa lagipun saya bekerja untuk bantu keluarga," katanya yang berasal dari Tepuh, Kuala Nerus.

Mohd yang merupakan anak bongsu dari empat beradik tinggal bersama ibu setelah bapanya meninggal dunia.

Pemuda itu kini bekerja 'onshore' di Melaka selain mahir dalam bidang perpaipan, membaiki dan memasang pendingin hawa.

Pesalah muda mendengar taklimat daripada Pengarah JKM Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan ketika menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) membersihkan sampah di Dataran Batu Buruk di Kuala Terengganu, pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan berkata, setakat ini seramai 44 pesalah yang aktif menjalani khidmat masyarakat di seluruh negeri sehingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai enam pesalah terdiri daripada kanak-kanak, 37 (pesalah muda) dan seorang pesalah dewasa dengan tempoh hukuman maksimum selama 240 jam dalam tempoh dua tahun.

Jelas beliau, antara hukuman khidmat masyarakat yang dijalani ialah membersihkan kawasan seperti mengutip sampah, landskap, mengecat, sertai kem jati diri dan lain-lain sama ada secara berjadual, adhoc atau bersepadu.

Katanya, berdasarkan statistik keseluruhan kes di Terengganu terdapat seramai 87 pelatih yang menjalani hukuman itu bagi tahun 2023 berbanding seramai 108 (2022) dan 31 orang pada 2021.

"Berdasarkan statistik kes yang ada menunjukkan jumlah pesalah muda di Terengganu tidak begitu besar berbanding negeri lain namun jika dilihat dari segi peratusan penduduk kita juga perlu menitikberatkan kerana kes-kes ini sentiasa ada sepanjang tahun.

"Perintah khidmat masyarakat bukanlah suatu bentuk hukuman seperti penjara tetapi ia lebih kepada bentuk alternatif untuk memberi kesedaran kepada pesalah muda agar tidak mengulangi kesalahan lampau yang dilakukan.

"Bentuk hukuman ini pula lebih kepada membentuk keperibadian pesalah kerana mereka perlu memberikan komitmen dan memikul tanggungjawab supaya memberi kesan perubahan yang positif kepada diri mereka," katanya.