LONDON - Saintis British, Ian Wilmut, yang penyelidikannya menjadi pusat penciptaan haiwan klon, Dolly the Sheep meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Kematiannya pada Ahad lalu beberapa tahun selepas didiagnosis dengan penyakit Parkinson, diumumkan Universiti Edinburgh tempat dia bekerja.
Wilmut, bersama-sama dengan Keith Campbell dari Institut Penyelidikan Sains Haiwan di Scotland mencetus perdebatan etika yang hangat pada tahun 1996 apabila mereka mencipta Dolly, mamalia pertama yang diklon daripada sel dewasa.
Universiti Edinburgh berkata, Wilmut mengetuai usaha untuk membangunkan teknik pengklonan atau pemindahan nuklear yang boleh digunakan untuk membuat biri-biri yang diubah suai secara genetik.
Jelas universiti itu, usaha-usaha inilah yang membawa kepada kelahiran Megan dan Morag pada 1995 dan Dolly pada 1996.
Dolly yang dinamakan sempena penyanyi Dolly Parton, adalah mamalia pertama yang diklon daripada sel dewasa menggunakan proses yang dipanggil pemindahan nuklear sel somatik (SCNT).
Ini melibatkan pengambilan telur biri-biri, mengeluarkan DNAnya dan menggantikannya dengan DNA daripada sel beku biri-biri yang mati bertahun-tahun sebelumnya.
Telur itu kemudiannya dikenakan cas elektrik untuk menjadikannya tumbuh seperti embrio yang disenyawakan dengan tiada sperma yang terlibat.
Penciptaan Dolly mencetuskan kebimbangan pengklonan pembiakan manusia atau menghasilkan salinan genetik orang hidup atau mati tetapi saintis arus perdana telah menolak perkara ini sebagai terlalu berbahaya.
Wilmut, yang dilahirkan berhampiran Stratford-upon-Avon, menuntut di Universiti Nottingham pada awalnya untuk menelaah ilmu pertanian, sebelum beralih kepada sains haiwan.
Dia berpindah ke Universiti Edinburgh pada tahun 2005 dan menerima gelaran kesatria pada tahun 2008 sebelum bersara dari dunia pendidikan pada tahun 2012. - Agensi