JOHOR BAHRU - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram membuktikan pengundi Johor menolak politik taasub dibawa oleh Pas.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kemaraan gelombang hijau hanya sampai setakat Selangor dan tidak mampu menembusi Johor walaupun Pas dan Perikatan Nasional (PN) melakukan pelbagai usaha termasuk membawa turun Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ke negeri itu pada kempen PRK lalu.
Menurutnya, Sanusi yang dianggap sebagai selebriti politik PN untuk meraih undi orang Johor juga tidak berjaya untuk membawa kemenangan kepada blok berkenaan dalam dua PRK itu.
"Pas dan PN yang 'over confident' mereka boleh menang di Pulai dan Simpang Jeram tapi akhirnya memakan diri. Mereka kena balik dengan kekalahan 2-0 sebagai hadiah atas politik keagamaan melampau yang mereka bawa ke Johor.
"Pas ingat mereka boleh memperbodohkan intelektualiti sebahagian besar orang Johor macam mana mereka buat kepada pengundi-pengundi mereka di Kedah, Kelantan dan Terengganu ke?" katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Ujar Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, walaupun PN turun menggunakan khidmat bekas pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim untuk 'serang' Kerajaan Perpaduan, namun pengundi di Parlimen Pulai dan Simpang Jeram lebih arif serta bijak untuk membuat pilihan mereka.
Tambahnya, Pas dan PN gagal untuk memahami cara pemikiran dan intelektual politik orang Johor yang menolak politik perpecahan, politik ketaksuban dan politik yang menggunakan agama sebagai senjata untuk meraih sokongan.
"Mereka (PN) ingat orang Johor mudah dipermainkan dan dipandang rendah macam Presiden Pas, (Tan Sri Abdul) Hadi Awang yang cakap orang Johor kurang faham politik Islam ketika PRN dulu.
"Untuk pengetahuan pemimpin Pas, sebenarnya ramai lagi orang Johor yang arif agama dan alim lebih daripada pak lebai Pas dan lebih penting mereka bukan penunggang agama demi kepentingan kuasa dan kedudukan.
"Jadi pengundi Pulai dan Simpang Jeram sudah menghukum keangkuhan dan kesombongan pemimpin PN terutamanya Pas yang merasakan hanya mereka yang terpaling alim dan terpaling bersih," ujarnya.