KPT sedia geran padanan penyelidikan antara industri, HPU tahun depan

Iklan
Mohamed Khaled - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyediakan geran padanan penyelidikan antara pihak industri dengan hospital pengajar universiti (HPU) mulai tahun depan, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, langkah ini bagi mendorong pihak industri menggunakan HPU dalam pelbagai penyelidikan yang dijalankan serta menghasilkan inovasi dalam sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan.

Iklan
Iklan

"Kita kena dekati dan bekerjasama erat dengan pihak industri khususnya dalam bersama-sama melakukan penyelidikan. Sinergi ini mesti dibina secara strategik terutamanya dengan syarikat-syarikat besar yang menerajui dan mempelopori perkembangan teknologi dan inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

"Ini juga penting kerana pihak universiti akan dapat berkongsi hasil daripada penyelidikan sama ada dari segi royalti, startup (pemula niaga) dan sebagainya,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Penyelidikan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 2023 di sini pada Selasa.

Iklan

"Saya percaya di universiti termasuk dalam PPUM pun tentu ada inovasi penyelidikan yang sudah memulakan startup tetapi perlukan lonjakan. Jadi kita akan kaji semua dasar mengenai startup supaya perkara yang menjadi cabaran dan halangan akan dapat diatasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled mahu sebarang penemuan penyelidikan atau hasil inovasi oleh mana-mana HPU akan terpakai kepada semua HPU yang lain dalam usaha mengeratkan lagi kerjasama.

Iklan

"Contohnya, seperti aplikasi UMMC Patient Journey Apps yang telah dibangunkan PPUM, kita akan minta sembilan lagi HPU yang lain turut mengguna pakai aplikasi ini dan begitu juga dengan penemuan-penemuan lain.

"Ini semua kementerian akan pantau kerana peruntukan kementerian untuk HPU adalah besar, macam untuk PPUM setiap tahun mencecah RM400 juta dan ini digunakan bukan sahaja untuk melahirkan doktor dan doktor pakar tetapi juga bagi merancakkan penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Pada majlis itu, turut berlangsung sesi pertukaran dokumen perjanjian kolaborasi antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dengan PPUM serta pelancaran aplikasi UMMC Patient Journey Apps. - Bernama