'Kolam itu telah lama terbiar'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Kolam yang dipercayai menjadi lokasi seorang lelaki dan cucunya lemas.

SUNGAI PETANI - Kolam di Taman Kempas di sini yang menjadi lokasi seorang datuk dan cucunya lemas pada petang Isnin dikatakan telah lama terbiar.

Jurukimpal, Alif Ikhmal Kintan, 26, berkata, kolam berbentuk bujur terletak tidak jauh dari tempat kerjanya dan berkeluasan anggaran dua meter lebar serta tiga meter panjang itu berkemungkinan mempunyai kedalaman kira-kira satu meter dan dipercayai sudah lama wujud.

Iklan
Iklan

Menceritakan kembali kejadian itu, katanya, selepas habis waktu bekerja, dia mendapat maklumat melalui aplikasi WhatsApp yang tersebar mengatakan ada dua mangsa lemas di kolam berkenaan menyebabkannya berpatah balik.

"Bila saya sampai (di lokasi), mayat telah selesai diangkat dan ada tali pita polis, tak sangka kejadian itu berlaku di sini," jelasnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, seorang daripada mangsa lemas merupakan bekas tukang kebun sekolah yang rajin ke masjid.

"Arwah juga merupakan seorang peniaga kedai makan dan gerai kuih serta disenangi penduduk kampung.

Iklan

"Kejadian lemas bersama cucu berusia setahun tujuh bulan sangat mengejutkan kerana berlaku sekelip mata," katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua mangsa lemas dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk tindakan lanjut.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Berangan sebaik selesai proses bedah siasat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang datuk ditemukan terapung bersama cucu lelaki dalam sebuah kolam terbiar berdekatan restoran ikan bakar dekat Taman Kempas di sini kira-kira jam 7 petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 78 tahun bersama cucunya dipercayai singgah ke lokasi sebelum pulang ke rumah di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal kira-kira 1.2 kilometer dari kolam berkenaan.

Difahamkan, mangsa terlebih dahulu mengambil cucu tersebut dari ibunya yang sedang bekerja di sebuah kedai makan tidak jauh dari lokasi kejadian.