SIBU - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mengetuai Kembara Kenali Borneo (KKB), terus menerima sambutan luar biasa daripada rakyat Sibu, pada Selasa.
Hari ini selain ratusan penduduk menunggu di luar Hotel RH di mana rombongan Seri Paduka berdua bermalam, dianggarkan lebih 3,000 orang hadir di Pasar Sentral Sibu.
"Kami telah meletakkan garisan halangan dan menugaskan anggota kami untuk mengawal pasar ini,” kata Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili.
Walaupun polis yang turut menerima bantuan daripada Pasukan Gerakan Am, penguat kuasa Majlis Perbandaran Sibu dan pengawal keselamatan pasar tersebut, namun mereka tetap diserbu orang awam yang tidak ingin melepaskan peluang untuk melihat sendiri Yang di-Pertuan Agong kesayangan mereka, bersama tiga anak lelakinya yang berangkat mengunjungi pasar basah terbesar di Malaysia itu, pagi tadi.
Yang di-Pertuan Agong yang turut diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan anggota Kabinet negeri yang lain, dikerumuni penduduk yang tidak putus-putus menggunakan peluang yang ada untuk mengambil gambar baginda.
"Ini suatu yang amat luar biasa,” kedengaran kata-kata seorang kakitangan awam di pasar tersebut.
Pada ketika Al-Sultan Abdullah bergerak dari satu gerai ke satu gerai yang lain menyantuni peniaga dan rakyat di situ, orang ramai terus bersesak-sesak mengikuti pergerakan itu, bagi mendapatkan peluang mengambil gambar yang terbaik.
Walaupun tidak berpeluang untuk bergambar bersama Al-Sultan Abdullah dan menyampaikan bunga kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Setiausaha Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS), Ita Ting berkata, beliau dan rakan-rakannya, gembira kerana Yang di-Pertuan Agong dapat berangkat ke Sibu.
"Ini suatu hari yang bersejarah dan beberapa hari ini merupakan sesuatu perjalanan yang panjang dan memenatkan. Kami hormati baginda, berterima kasih dan berdoa kepada tuhan untuk memberkati Seri Paduka dan Raja Pemaisuri Agong, kerana menjaga negara dalam aman dan harmoni,” kata Ita yang turut disertai rakan-rakan dari ACS, Masjid An-Nur, Persatuan Kuil Sikh Sibu, Kuil Hindu Sri Mariamman Sibu, Dewan Spiritual Tempatan Bahai di Sibu dan Persatuan Penganut Buddha Sibu.
Selepas kunjungan ke pasar basah tersebut, kembara kemudiannya menghala ke Sri Aman dan kemudiannya Kuching.
Berangkat sama dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah anakanda Seri Paduka berdua iaitu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.
Kembara Kenali Borneo untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada 7 September lepas sebelum memasuki Sarawak melalui Brunei.
Penjelajahan sejak 3 hingga 13 September itu, bermula dari Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano di selatan Sarawak, melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama