KOTA KINABALU - Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah di Tawau pada Selasa.
Lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu bernilai kira-kira RM26,000 antara November 2017 hingga Januari 2018.
Iklan
Iklan
Menurut sumber, suspek didakwa mengarahkan sebuah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja penggantian tiga jenis paip di sebuah kilang berasaskan produk minyak sawit.
Bagaimanapun, kerja penggantian tersebut tidak dilaksanakan tetapi suspek didakwa telah membuat tuntutan.
Suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
"Suspek akan dituduh esok (Rabu) di Mahkamah Khas Rasuah Tawau," katanya.