PETALING JAYA - Konsep"Al-Wasatiyyah" atau kesederhanaan yang didukung oleh Universiti Al-Azhar Asy-Syarif selama ini terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang meruntuhkan negara dan merugikan umat Islam.
Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG) Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berkata konsep ini selari dengan seruan al-Qur'an untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia yang memiliki masyarakat majmuk.
Beliau juga berkata"Al-Azhar sentiasa meraikan kepelbagaian sebagai satu sunnatullah selaras dengan tuntutan Islam demi memenuhi aspirasi keamanan masyarakat dan kedamaian global".
"Al-Wasatiyyah juga menyeru ke arah kesederhanaan dan berlapang dada, dan kami sekarang berusaha untuk mengukuhkan pelaksanaan konsep ini di Malaysia melalui ceramah, artikel dan terjemahan kenyataan Syeikhul Azhar ke bahasa Melayu yang disiarkan dalam laman web WOAG", tambah beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika majlis iftar yang diadakan di ibu pejabat WOAG di sini malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Duta Mesir ke Malaysia, Ahmed Fawzi Elsherif, Konsular Pertama Kedutaan Palestin di Malaysia Sufyan Al-Khalidi, Timbalan Atache Agama Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia Syeikh Abdulrahman Ibrahim Al-Robian dan beberapa tokoh agamawan tempatan.
Majlis iftar anjuran WOAG dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu diadakan bersempena ulang tahun ke-1079 Hijrah penubuhan universiti Al-Azhar Asy-Syarif, apabila solat Jumaat pertama diadakan di Al-Jami' Al-Azhar pada 7 Ramadan 361 Hijrah.
Tarikh itu dipilih Syeikhul Al-Azhar Asy-Syarif Al-Imam Al-Akbar Profesor Dr Ahmed Al-Tayyeb sebagai"Hari Al-Azhar Asy-Syarif" selari dengan usia universiti Islam terulung dunia itu yang sudah lebih 10 abad mendidik ribuan penuntut dari seluruh pelusuk dunia dengan jayanya.
Ketika ditanya perancangan WOAG dalam masa terdekat ini, beliau berkata WOAG sedang dalam usaha mendekati sekolah-sekolah agama untuk membimbing pelajar-pelajar dalam bahasa Arab dan bersetuju untuk memilih beberapa buah sekolah sebagai sekolah angkat WOAG. - Bernama