Lebih 2,000 maut, ribuan hilang dalam banjir di timur Libya

Iklan
Lebih 2,000 orang terbunuh manakala beribu-ribu lagi hilang selepas banjir melanda timur Libya pada Ahad. - Foto AFP

TRIPOLI - Perdana menteri Libya, Osama Hammad pada Isnin berkata lebih 2,000 orang terbunuh manakala beribu-ribu lagi hilang selepas banjir melanda timur Libya pada Ahad.

Bercakap kepada saluran TV tempatan, Hammad yang berpusat di timur Libya berkata kebanyakan mangsa terjejas dilaporkan di bandar pelabuhan Derna, di mana"seluruh kawasan perumahan telah dihanyutkan oleh banjir" lapor Xinhua.

Iklan
Iklan

Beliau menyeru anggota perubatan dan pasukan penyelamat di seluruh negara untuk memberikan bantuan kepada bandar yang terjejas teruk itu, manakala Timbalan Perdana Menteri Ali al-Gatrani yang berpusat di timur Libya telah merayu bantuan antarabangsa melalui saluran TV tempatan.

Pihak berkuasa tempatan telah mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk mangsa.

Iklan

Ribut Mediterranean mendarat di timur Libya pada Ahad, mencetuskan banjir dan memusnahkan kemudahan di sepanjang laluannya.

Beliau turut berikrar untuk"melindungi rakyat dan mengurangkan kerosakan".

Iklan

Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Persatuan Bulan Sabit Merah Libya telah mula menawarkan bantuan segera kepada mereka yang terjejas akibat bencana itu.

Sementara itu, Perancis mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terjejas banjir di timur Libya dan menggerakkan dana untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada negara itu, lapor Sputnik memetik Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Isnin.

"Saya menyatakan solidariti saya kepada rakyat Libya yang menderita akibat banjir besar. Perancis mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menggerakkan dana untuk bantuan kecemasan," kata Macron di X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Negara yang kaya dengan minyak telah berpecah selama bertahun-tahun antara pentadbiran yang bersaing di timur dan barat Libya.

Setiap pentadbiran disokong oleh kumpulan bersenjata dan militia. -Bernama-Xinhua