Semakan hukuman mati, penjara seumur hidup perlu difail tempoh tiga bulan

Iklan
Ramkarpal Singh. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula hukuman berkenaan dalam tempoh tiga bulan di Mahkamah Persekutuan, bermula hari ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Beliau berkata, pemfailan notis usul dan afidavit sokongan untuk permohonan semakan, kini akan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia kepada mahkamah dan permohonan penyemakan hukuman itu, hanya boleh dilakukan sekali sahaja.

Iklan
Iklan

"Namun, mahkamah boleh mempertimbangkan pelanjutan tempoh untuk mengemukakan permohonan semakan tertakluk kepada alasan munasabah,” katanya semasa Taklimat Pelaksanaan Proses Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di sini pada Selasa.

Ramkarpal berkata, banduan boleh memilih untuk mendapatkan peguam sendiri, peguam yang dilantik oleh mahkamah (bagi kes hukuman mati) atau peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (bagi kes pemenjaraan sepanjang hayat), untuk mengendalikan prosiding semakan.

Iklan
"Kes di Sabah dan Sarawak akan dikendalikan oleh peguam di negeri berkenaan, manakala bagi banduan bukan warganegara, Jabatan Penjara Malaysia telah mengadakan perbincangan serta sesi libat urus bersama kedutaan dan konsulat berkaitan,” katanya.

Ramkarpal berkata, selepas pemfailan permohonan semakan itu dilakukan, penetapan tarikh dan pendengaran kes akan dibuat di hadapan panel hakim Mahkamah Persekutuan dan mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk mengekalkan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup atau menggantikannya dengan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

"Sekiranya mahkamah menolak permohonan semakan dan mengekalkan hukuman sedia ada, banduan masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan,” katanya.

Iklan

Ramkarpal berkata, seramai 491 banduan tempatan dan 415 banduan bukan warganegara dikenakan hukuman mati mandatori, manakala bagi hukuman pemenjaraan seumur hidup membabitkan 82 banduan wargenagara dan 32 banduan bukan warganegara. - Bernama