SUNGAI PETANI -"Sembilan tahun saya tunggu kelahirannya, namun dia 'pergi' dahulu.
Demikian luahan Zarina Azmi, 34, yang merupakan ibu kepada kanak-kanak setahun tujuh bulan yang lemas bersama datuknya di sebuah kolam terbiar dekat Taman Kempas di sini pada petang Isnin.
Menurut Zarina, dia dan suami, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 35, bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah yang meminjamkan anak tunggal kesayangan, Muhammad Ziyaad Mikhail seketika biarpun telah sembilan tahun menanti kelahiran cahaya mata.
ARTIKEL BERKAITAN: Datuk, cucu ditemukan terapung dalam kolam
'Kolam itu telah lama terbiar'
Dalam kejadian itu, Zarina turut kehilangan bapa tersayang, Azmi Abdullah, 77, yang ditemukan terapung dalam sebuah kolam bersama Muhammad Ziyaad selepas kedua-kedua beredar dari kedai makan di mana tempatnya bekerja dengan menaiki motosikal untuk keluar bersama.
"Sepanjang hari (Isnin), Muhammad Ziyaad asyik peluk saja, seolah-olah tak puas bermanja sebelum datuknya datang ambil kira-kira jam 5 petang.
"Namun, tak lama kemudian saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak ditemukan lemas di kolam berhampiran," jelasnya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini pada Selasa.
Kejadian disedari apabila kedua-dua beranak itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 7 petang, menyebabkan mereka keluar mencari di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, luluh hatinya apabila menemukan jasad datuk dan cucu itu lemas dan terapung dalam kolam tersebut.
Sementara itu, adik kepada Azmi, Yusof Abdullah, 61, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah abangnya bulan lalu dan terkejut apabila menerima panggilan berhubung kejadian.
"Arwah dah lama pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucu dan menjadi rutin membawa cucunya itu meronda waktu petang dengan menaiki motosikal,” katanya.
Dakwa Yusof, dia difahamkan bahawa kejadian kemungkinan berlaku apabila kanak-kanak itu turun dari motosikal dan berlari ke arah kolam sebelum terjatuh.
Dakwanya, kemungkinan Azmi yang ternampak cucunya jatuh terus berlari ke arah kolam dan cuba menyelamatkan, namun turut lemas.
"Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.
"Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku," katanya.
Menurut Yusof, Azmi mempunyai lima anak serta 10 cucu dan Muhammad Ziyaad Mikhail serta ibu bapanya tinggal bersama.
Jenazah kedua-dua beranak itu kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal selepas selesai urusan bedah siasat untuk proses pengebumian.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang datuk berusia 78 tahun dan cucu lelakinya berusia setahun tujuh bulan ditemui lemas di kolam berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas, di sini pada Isnin.