Padah bawa PATI, lima pemandu e-hailing didenda RM35,000

Iklan
Lima pemandu e-hailing ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.

MELAKA - Akibat membiarkan enam lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki kenderaan, lima pemandu e-hailing didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini pada Selasa.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Dharmafikri Abu Adam terhadap Mohd Taufiq Md Isa, 30; Mohd Fhairul Arifin Shaharudin, 39; Shahrulnizam Abu Hanafi, 46; Muhammad Hafiz Rudi, 35, dan Syed Salim Syed Anuar, 34, selepas menerima pengakuan tertuduh dalam dua prosiding berasingan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan terhadap Mohd Taufiq dan Muhammad Hafiz, mereka telah membenarkan dua PATI warganegara Indonesia berada dalam kenderaan, masing-masing jenis Proton Persona yang mana mereka sebagai penduduk yang mempunyai kawalan ke atas kenderaan.

Tindakan itu dilakukan berasingan di kawasan pesisiran pantai Klebang, Melaka Tengah kira-kira jam 12 tengah hari hingga 11 malam pada 14 Ogos lalu.

Iklan

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 sehingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI.

Sementara itu, tertuduh Syed Salim, Mohd Fhairul dan Shahrulnizam masing-masing berdepan pertuduhan sama telah membenarkan seorang PATI warganegara Indonesia berada dalam kenderaan mereka.

Iklan

Perbuatan tersebut dilakukan pada waktu dan tarikh sama sekitar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh dan persisiran pantai Klebang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan dan Umar Zulkarnain.

Tertuduh melalui peguam masing-masing merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan pengakuan dibuat menjimatkan masa dan kos mahkamah, selain sudah insaf dan masing-masing perlu menyara keluarga.

N Sivashangari dan Muhammad Nazrin memohon hukuman setimpal diberikan terhadap mereka sebagai pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam.

Hakim Mohd Sabri kemudian membenarkan Mohd Taufiq, Mohd Fairul dan Shahrul Nizam didenda RM5,000 bagi setiap PATI dibawa atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Manakala Hakim Dharmafikri yang menjatuhkan hukuman terhadap Syed Salim dan Muhammad Hafiz, menetapkan denda RM5,000 bagi setiap PATI atau enam bulan penjara jika gagal bayar

.