Henti keluar fatwa demi perpaduan rakyat - Sultan Selangor

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua rakyat terutama pemimpin politik agar menghentikan perbuatan mengeluarkan sebarang fatwa dengan secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat negara ini.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam membangkitkan isu berkaitan dengan pengeluaran fatwa secara berleluasa oleh sebahagian pemimpin politik sejak akhir-akhir ini yang merupakan satu trend amat membahayakan.

Iklan
Iklan

Baginda menegaskan, fatwa di negara ini hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti setelah mendapat perkenan daripada raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu hukum tersebut.

Titah baginda, di samping itu, Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) juga bertanggungjawab di dalam mengeluarkan pandangan hukum setelah perbincangan dengan mufti-mufti setiap negeri diadakan dan setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja.

Iklan

"Selanjutnya pandangan hukum tersebut diangkat untuk pertimbangan setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan raja bagi sesebuah negeri untuk difatwakan. Sesuatu fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang mufti sahaja.

"Bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli sama ada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI atau Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri yang terdiri daripada alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

Iklan

"Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat," titah baginda dalam satu kenyataan pada Selasa.

Baginda bertitah, sekiranya fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang politik dan pemimpin politik, ia pasti akan mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.

"Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab ini. Ingatan beta ini tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau golongan mana-mana parti politik.

"Malah beta memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelakkan kenyataan beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik. Beta menyeru agar janganlah agama diperalatkan bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri,” titah baginda.

Baginda turut menyeru kepada polis agar mengambil tindakan proaktif dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu supaya menjadi satu pengajaran serta ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara sama pada masa hadapan.

"Beta menegaskan di sini, Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan di dalam memelihara hak orang-orang Melayu dan agama Islam sentiasa terjamin.

"Di samping itu, Raja-Raja Melayu juga bertanggungjawab menjamin hak dan keselamatan kaum-kaum lain yang membentuk rakyat Malaysia," titah baginda.

Sultan Sharafuddin menjelaskan, rakyat serta pemimpin politik tidak perlu bimbang tentang pemeliharaan hak kaum masing-masing dan agama yang dianuti oleh setiap kaum di negara ini.

"Ini adalah kerana undang-undang negara khususnya Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan hak bagi semua kaum dan agama kepada setiap rakyat Malaysia.

"Manakala Raja-Raja Melayu berperanan memayungi dan menjamin semua hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut sentiasa dipelihara," titah baginda.

Baginda merayu kepada semua pemimpin politik khususnya pemimpin politik yang senior dan veteran supaya mengelak daripada memecahbelahkan rakyat di negara ini, sebaliknya mengambil pendekatan bagi menanam dan memupuk semangat perpaduan yang erat dalam kalangan semua kaum yang berlainan agama demi menjamin kesejahteraan negara.

"Peliharalah negara kita dengan baik kerana inilah satu-satunya tanah tumpah darah kita yang perlu kita pertahankan kemakmuran dan kedaulatannya," titah baginda.