SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menunjukkan komitmen serius dalam melaksanakan reformasi institusi dengan kadar segera kerana timbulnya persepsi bahawa sistem keadilan berada dalam situasi genting dan digugat oleh pengaruh yang tidak wajar.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Masyarakat Sivil Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia pada Selasa, ia berikutan pengendalian lemah oleh Jabatan Peguam Negara terhadap beberapa kes rasuah berprofil tinggi sehingga menyebabkan isu berkenaan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
"Melepaskan individu yang tertuduh di dalam kes melibatkan rasuah politik membawa implikasi serius terhadap integriti sistem perundangan kita. Oleh itu, kami mendesak ahli politik dan ahli Parlimen untuk segera memulakan kajian empirikal yang tegas,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Tan Sri Mohamed Nazir Razak, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, Dr Edmund Terence Gomez, Shah Hakim Zain dan Anas Zubedy.
Selain itu, Maha Balakrishnan, Christopher Leong, Nurhayati Nordin, Badlishah Sham Baharin, Dr Muhammad Mohan, Dr Tricia Yeoh, Cynthia Gabriel, Datuk Mohamed Arshad Raji dan Tharma Pillai.
Tambah kenyataan itu lagi, ia bertujuan untuk memastikan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan pejabat pendakwa raya tidak lagi dilengah-lengahkan.
Katanya lagi, Peguam Negara dan semua badan-badan yang berkaitan mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi standard akauntabiliti dan ketelusan tertinggi dalam setiap aspek proses pendakwaan, termasuk penzahiran maklumat serta butiran komprehensif berkenaan dengan kes-kes berprofil tinggi.
Di samping itu, kerajaan perlu menyatakan garis masa komprehensif untuk pelaksanaan setiap reformasi institusi yang dicadangkan oleh kumpulan ini dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Cita-cita Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada 25 negara terbaik di Indeks Persepsi Rasuah dalam dekad yang akan datang seharusnya disusuli dengan tekad sungguh-sungguh dan tidak berbelah bahagi.
"Untuk memenuhi komitmen ini, selain usaha mencegah rasuah dan menanamkan nilai-nilai etika di peringkat akar umbi, pemantapan dan pengukuhan kerangka undang-undang kita adalah satu kewajipan.
"Ini penting untuk memastikan individu yang bersalah menerima hukuman setimpal, dan rantaian rasuah yang dapat diputuskan di setiap peringkat ekosistem,” kata kenyataan itu.
Tegas kenyataan itu, dalam menangani masalah itu, kerajaan perlu bertindak segera kerana integriti dan maruah negara kini sedang dipertaruhkan.