Bekalan beras Indonesia mencukupi

Iklan
Jokowi melancarkan program bantuan beras yang akan diagihkan kepada 21.35 juta isi rumah berpendapatan rendah. - Foto: Agensi

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi pada Isnin mengesahkan negara itu mempunyai bekalan beras yang mencukupi sebagai usaha untuk meredakan kebimbangan ramai setelah harga makanan ruji tersebut mencapai paras tertinggi kerana tahap pengeluaran yang rendah dan musim kemarau berpanjangan.

Ketika ini, harga beras meningkat pada kadar terpantas dalam lebih sedekad pada Ogos walaupun inflasi kekal rendah.

Iklan
Iklan

Harga purata meningkat kepada 16 peratus pada bulan Ogos 2022 kepada 14,000 rupiah (RM4.26) sekilogram.

Data bank pusat menunjukkan ia adalah harga paling tinggi sejak rekod dicatatkan pada Mac 2017.

Iklan

"Indonesia memiliki kira-kira 1.6 juta tan stok beras milik kerajaan di gudang. Sebanyak 400,000 tan lagi beras import sedang dalam penghantaran.

"Biasanya, kita hanya ada 1.2 juta tan, namun kini sudah mencecah 2 juta tan. Oleh itu, usah khuatir," katanya selepas melawat gudang simpanan makanan Bulog di Bogor berhampiran ibu kota.

Iklan

Jokowi turut melancarkan program bantuan beras berjumlah 8 trilion rupiah (RM2.4 bilion) di gudang berkenaan.

Di bawah inisiatif itu, pemerintah akan mengagihkan 640,000 tan beras kepada 21.35 juta isi rumah berpendapatan rendah untuk tempoh lebih tiga bulan.

Menurutnya, program tersebut bertujuan melindungi isi rumah yang kurang berkemampuan dan terkesan kerana kenaikan harga beras.

Beras menjadi makanan ruji kira-kira 270 juta penduduk di negara itu dan sebarang kenaikan harga adalah sensitif dari segi politik terutamanya menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) pada Februari 2024.

Agensi Makanan Kebangsaan menjangkakan kemarau di bahagian negara topika itu yang diburukkan lagi dengan fenomena cuaca El Nino boleh mengecutkan pengeluaran beras sebanyak lima kepada tujuh peratus pada 2023 berbanding 31.54 juta tan pada 2022.

Indonesia juga telah membenarkan import 2.3 juta tan beras pada tahun ini untuk mengurangkan kesan El Nino.

"Tetapi, kontrak untuk pemerolehan 453,000 tan beras belum ditandatangani," kata pegawai di Bulog ketika menyertai mesyuarat berasingan tentang penyelarasan makanan.

Jokowi yang baru pulang daripada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di India memaklumkan beliau berbincang dengan negara seperti Kemboja, China dan Bangladesh untuk memeterai perjanjian keperluan import pada masa depan.

Sebelum ini, Bulog mengimport produk makanan daripada penjual utama dari Thailand, Vietnam dan India. - Agensi