BANGKOK - Kerajaan baharu Thailand mahu mengutamakan pemberian wang berjumlah 560 bilion baht (RM73.5 bilion) dan melaksanakan siri dasar rangsangan jangka pendek untuk memulihkan ekonomi negara itu.
Agenda dasar itu dinyatakan Perdana Menteri, Srettha Thavisin pada Isnin ketika mengumumkan pelan dompet digital 10,000 baht (RM1,313) seperti dijanjikan ketika kempen pilihan raya lalu yang akan disalurkan melalui teknologi blockchain kepada kira-kira 50 juta rakyat berusia 16 tahun ke atas.
Iklan
Iklan
"Kami akan menyuntik dana kepada semua bidang ekonomi untuk mewujudkan perbelanjaan, meningkatkan kualiti hidup dan membuka peluang pekerjaan serta perniagaan," kata Srettha yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan.
Difahamkan, pemberian wang itu merupakan janji utama Parti Pheu Thai ketika kempen pilihan raya lalu yang disebut sebagai 'titik permulaan untuk pemulihan ekonomi'.
Bekas taikun hartanah itu juga menggariskan beberapa langkah segera yang akan dilaksanakan seperti moratorium hutang untuk golongan petani dan syarikat kecil, menurunkan harga elektrik dan bahan api serta menggalakkan sektor pelancongan dengan melonggarkan peraturan kemasukan visa.
Pembangkang bagaimanapun skeptikal dengan pengumuman inisiatif tersebut dan turut mempersoalkan kebolehlaksanaan beberapa projek dan sumber pembiayaan untuk cadangan moratorium hutang dan skim dompet digital.
Sirikanya Tansakul daripada Parti Move Forward (MFP) dengan lantang mengkritik agenda pentadbiran Srettha yang digelar sebagai 'senarai keinginan' tanpa butiran, komitmen dan garis masa yang jelas. - Agensi