MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini menyenaraikan buli, jenayah seksual dan perkauman sebagai tiga dosa besar yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak khususnya kumpulan sektor pendidikan.
Antara tiga dosa besar bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu, perbuatan buli bukanlah perkara baharu di sekolah-sekolah terutamanya di sekolah berasrama dan sering dilaporkan di media massa.
Buli fizikal seperti memukul dan menendang biasanya melibatkan pelajar lelaki dan kadangkala ia berakhir dalam keadaan tragis seperti kecederaan parah atau kematian mangsa.
Perbuatan mengusik, menghina, menyebarkan khabar angin dan mengejek orang lain pula boleh dikategorikan sebagai buli lisan. Buli jenis ini adalah yang paling kerap berlaku di sekolah.
Apa jua perbuatan buli, ia memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi mangsa sama ada bagi tempoh pendek atau panjang termasuk berisiko tinggi untuk menghidap kemurungan.
Dosa kedua bagi KPM, jenayah seksual pula boleh berlaku secara fizikal dan mental. Ini kerana mangsa bukan sahaja boleh diganggu secara lisan dengan kata-kata berunsur lucah, malahan anggota badan mangsa disentuh atau diraba.
Walaupun kes gangguan seksual yang dilaporkan mungkin tidak sebanyak kes buli, namun mangsa biasanya mengalami trauma yang lebih teruk hingga menyebabkan mereka berasa takut hendak ke sekolah.
Menyedari kepentingan perpaduan kaum di sekolah, langkah KPM menyenaraikan perkauman sebagai salah satu dosa yang perlu dielakkan juga wajar dipuji.
Penyenaraian tiga dosa ini menunjukkan KPM memandang serius tiga kesalahan itu dan berusaha menangani permasalahan berkenaan secara total.
Usaha KPM ini bagaimanapun tidak akan berjaya sekiranya pihak pengurusan sekolah tidak memainkan peranan dan menyembunyikan kes-kes sebegini daripada pengetahuan semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah.
Tidak melaporkan kes-kes tiga dosa besar ini boleh menyebabkan KPM tidak mendapat data tepat mengenai bilangan sebenar kes yang terjadi.
Data yang tepat dapat membantu KPM mengenal pasti punca sebenar tiga dosa besar ini berlaku, sekali gus mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menanganinya.