Ketepi fahaman politik demi jayakan LTdL 2023

Iklan
Hishamuddin (kiri) menjawab soalam pemberita ketika Majlis Penajaan LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil pada Selasa. - Foto: FB MSN

BERBAKI 10 hari sebelum bermulanya Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan salah satu daripada penaja utama perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu.

Kerajaan negeri Terengganu secara rasmi diumumkan sebagai salah satu penaja utama LTdL kali ini dengan jumlah penajaan hampir RM1 juta meliputi tajaan wang tunai berjumlah RM800,000 selain penyediaan bantuan logistik.

Iklan
Iklan

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri Terengganu berbesar hati apabila diberikan peluang menjadi antara penaja utama LTdL tahun ini.

Malah beliau memberitahu, pihaknya mengetepikan sebarang perbezaan fahaman politik antara kerajaan negeri Terengganu dan pusat, demi menghangatkan LTdL 2023 yang bermula dari 23 hingga 30 September ini.

Iklan

"Sukan untuk semua, jadi tidak ada isu politik yang menyebabkan kita rasa terasing antara satu sama lain. Daripada awal sehinggalah sekarang, kita memiliki satu semangat yang sama.

"Kita mahu melihat sukan terus meningkat di negara ini, mewakili daripada mana-mana negeri atau pihak sekalipun, ia (sukan) adalah (milik) rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr K Nagulendran, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah.

Terengganu diberi penghormatan untuk menjadi lokasi Peringkat 1 LTdL 2023 yang melibatkan laluan sepanjang 184.4 kilometer (km) dari Kerteh ke Kuala Terengganu.

Terkenal dengan gelaran Land of Cyclist, Terengganu turut menjadi tuan rumah Peringkat 2 sejauh 186.2km yang bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, Nagulendran berkata, kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri Terengganu dan MSN selaku penganjur LTdL 2023 membuktikan semangat kesukanan antara semua pihak.

"Saya rasa ini selari dengan Visi Sukan Negara 2030 yang mana kita mahu merakyatkan sukan dan menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu atas penajaan ini dan paling penting apabila melibatkan sukan, kita amalkan semangat kesukanan,” jelasnya.

LTdL 2023 turut melibatkan laluan Peringkat 3 dari Jeli ke Baling sejauh 177.1km; Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km) dan Peringkat 5 dari Slim River-Genting Highlands (133.3km)

Perlumbaan berstatus ProSeries itu kemudiannya akan diteruskan di Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan berakhir Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur sejauh 157km.