Masukkan semula boling padang dalam Program Podium

Iklan
Hannah (tengah) menyambut kepulangan Nabilah dan Aleen di KLIA2 pada Isnin. - Foto: Bernama, gambar kecil: Awalan Abdul Aziz

SUKAN boling padang negara seakan-akan mendapat sinar baharu selepas kejayaan gandingan Nur Ain Nabilah-Aleena Ahmad Nawawi bergelar juara dunia baru-baru ini.

Kejayaan yang dicipta mereka di bumi Gold Coast, Australia itu bagaikan satu magis sehingga membuka mata ramai pihak khususnya pemegang taruh sukan tanah air.

Iklan
Iklan

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, pencapaian hebat yang dijelmakan Nabilah-Aleena itu membuktikan pihaknya sudah kembali menuai hasil positif.

Malah, Awal tanpa berselindung berharap kejayaan Nabilah-Aleena muncul juara dunia membuka pintu buat sukan boling padang kembali berada dalam Program Podium.

Iklan

"Saya telah dimaklumkan oleh YB (Yang Berhormat) Menteri (Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, beliau sedang meneliti semula Program Podium ini.

"Sudah tentu amat penting untuk kita kembali dalam Program Podium kerana ia mempunyai struktur sistem sokongan yang sangat baik.

Iklan

"Saya berharap (boling padang) diserap semula dalam Program Podium kerana semuanya sudah tersedia dalam program ini termasuk tempat tinggal, makan dan minum serta latihan kepada atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan kepulangan skuad boling padang negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada Isnin.

Mengulas lanjut, Awal berharap perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja pada Disember depan berakhir positif dengan kemasukan semula boling padang ke Program Podium.

"Kita mempunyai potensi untuk sapu bersih (pingat) pada temasya Sukan SEA kerana selama ini kita antara penyumbang pingat terbanyak kepada kontinjen negara.

"Kita jangkakan boling padang dipertandingkan pada Sukan SEA Thailand 2025. Kita juga sudah berbincang dengan Persekutuan Lawn Bowls Thailand dan mereka yakin acara boling padang dipertandingkan.

"Jadi saya melihat ada kepentingan boling padang dimasukkan semula dalam Program Podium sebagai persediaan kita menghadapi kejohanan akan datang termasuk Sukan SEA,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan pemberian insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sebagai menghargai kejayaan Nabilah-Aleena mengharumkan nama negara pada kejohanan itu.

"KBS sangat gembira dengan kejayaan mereka. Saya nak umumkan Shakam yang akan diberikan buat Nur Ain dan Aleena ialah RM80,000, jadi setiap seorang akan memperoleh RM40,000,” ujarnya.

Nabilah-Aleena muncul selepas menewaskan gandingan Malta, Rebecca Rixon-Connie Leigh Rixo 15-11 pada aksi final acara pairs wanita, sekali gus menamatkan penantian 15 tahun Malaysia meraih pingat emas di pentas dunia.

Insentif wang tunai berjumlah RM10,000 seorang masing-masing buat gandingan Idham Amin Ramlan-Izzat Dzulkeple yang memenangi pingat gangsa dalam acara pairs lelaki pada Kejohanan Dunia itu.