KUALA LUMPUR – Rokok seludup dan minuman keras bernilai RM36 juta berjaya dirampas dalam operasi khas yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman pada 7 September lalu.
Menurut sumber, operasi yang dijalankan oleh Unit Perisikan dan Siasatan Khas JKDNKA Bukit Aman dengan kerjasama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras menyerbu tiga lokasi di sekitar Cheras yang dijadikan tempat pemyimpanan dan pembungkusan bahan terlarang itu.
Difahamkan kesemua rokok keretek dan putih serta minuman keras jenis liquor itu dipercayai diseludup dari negara jiran sebelum dibungkus semula untuk edaran sekitar Lembah Klang dan Selangor.
Sumber itu berkata, selain rampasan rokok dan minuman keras, pihaknya turut merampas perkakas termasuk mesin yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pembungkusan semula barangan berkenaan.
Sementara itu Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan serbuan berkenaan.
Menurutnya, lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan barangan terlibat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya