MAJLIS Sukan Negara (MSN) memaklumkan pendekatan tidak menetapkan sasaran pingat secara spesifik pada Sukan Asia Hangzhou 2022 adalah atas permintaan atlet bagi mengelak tekanan melampau termasuk daripada media.
Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin mendedahkan bahawa atlet dan jurulatih mendakwa media seakan dilihat memberi tekanan kepada mereka untuk mempamerkan prestasi terbaik dan membawa pulang emas.
Beliau berkata, tanpa mendedahkan sasaran warna pingat, ia dapat mengelak media mempersoalkan pencapaian atlet dan melaporkan mengenai jangkaan pingat sekali gus membolehkan atlet kekal fokus kepada prestasi mereka.
"Setiap kali kita meletakkan sasaran, mesti reporter akan mencari mereka (atlet) dan sebagainya.
"Jadi mereka berasakan bahawa adalah lebih adil untuk mereka mempamerkan prestasi, baru dinilai berbanding kita meletakkan sasaran awal.
"Ini (alasan) datang daripada atlet, jurulatih dan persatuan sukan itu sendiri,” kata Jefri.
Kontinjen Malaysia buat julung kali tidak menyatakan secara spesifik sasaran emas berbanding amalan sejak berdekad lalu.
Sebaliknya hanya keseluruhan 27 pingat disasarkan untuk kontinjen negara seperti diumumkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt pada Isnin.
Bagaimanapun sasaran 27 pingat itu, jauh lebih rendah berbanding kutipan keseluruhan pingat di temasya Jakarta-Palembang 2018 apabila kontinjen negara berjaya meraih 36 pingat.
Jefri menjelaskan, pihaknya belajar daripada Sukan SEA Kemboja 2023 Mei lalu apabila atlet yang disandarkan harapan untuk membawa pulang emas berdepan tekanan susulan perhatian diberikan media.
"Jika lihat daripada post mortem Sukan SEA lalu, kebanyakan atlet yang kita jumpa dan bercakap dengan Menteri Hannah Teoh, MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara) menyatakan bahawa kadang-kadang sasaran yang diletakkan ke atas mereka terlalu memberi kesan,” katanya.
Pada Sukan SEA Mei lalu, Malaysia diwakili oleh 676 atlet dengan 440 atlet (65 peratus) daripadanya membuat penampilan kali pertama di temasya dwitahunan itu.
Sebelum ini, prestasi kontinjen Malaysia pada temasya itu dipersoal ramai pihak terutamanya dalam kalangan peminat sukan tempatan gara-gara kegagalan mencapai sasaran 40 emas.
Jumlah kutipan 34 emas menyaksikan kontinjen Malaysia mencatat pencapaian terburuk sejak membawa pulang keseluruhan 31 emas pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand.
Dalam pada itu, Jefri menjelaskan bahawa keputusan tidak meletakkan sasaran spesifik emas bukan langkah ke belakang.
Sebaliknya kata beliau, amalan itu terbukti efektif mendorong pencapaian lebih cemerlang kepada seseorang atlet seperti dipraktiskan beberapa negara kuasa besar dalam sukan termasuk Jepun dan Australia.
"Australia, adakah mereka mengambil langkah ke belakang? Jepun antara negara terbaik di Asia dan mempunyai ranking di (Sukan) Olimpik. Adakah mereka mengambil langkah ke belakang?
"Analisis perlu juga lihat kepada trend di luar di mana negara luar telah menggunakan kaedah ini untuk mengurangkan tekanan kepada atlet supaya mereka boleh beraksi pada tahap terbaik dekat Olimpik dan Sukan Asia.
"Jadi kita perlu mengikut jejak langkah mereka,” katanya.
Kontinjen Malaysia disertai 289 atlet serta 145 pegawai dan akan menyertai 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan.
Pada temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Malaysia membawa pulang tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.