MELAKA - Kebanjiran warga asing termasuk Bangladesh dan Myanmar di kawasan Plaza Melaka Sentral, Peringgit di sini, merisaukan orang awam terutama pada hujung minggu.
Tinjauan mendapati terdapat empat kedai runcit yang diuruskan warga Bangladesh dan dua kedai runcit dipercayai dijaga oleh warga Myanmar yang turut mempunyai lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Difahamkan terdapat juga kedai makan Myanmar yang terletak di tingkat atas bangunan selain dipercayai sebuah kedai makan yang menjual makanan eksotik beroperasi namun tidak mempunyai sebarang papan tanda.
Kebanyakan premis di kawasan itu didakwa telah dimonopoli warga asing dengan membuka perniagaan runcit yang menjual barangan daripada negara mereka dipercayai sejak lebih dua tahun lalu.
Malah tingkat atas bangunan turut menjadi kediaman warga asing dengan bayaran RM200 sebulan.
Seorang pekerja syarikat pengirim wang berlesen dikenali sebagai Amira, 21, berkata, kedai runcit yang didakwa diuruskan warga Myanmar kurang mementingkan kebersihan dan meletakkan barangan jualan seperti ikan kering di ruang kaki lima premis berkenaan.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan mereka berasa tidak selesa dan ada kalanya datang bau busuk.
Selain itu katanya, warga asing itu juga sering bergaduh dan membuat bising.
"Baru-baru ini mereka bergaduh lagi, bila mereka bergaduh kami akan segera menutup pintu demi keselamatan," katanya.
Pekerja pembersihan di sebuah pejabat di situ, Normala Mohd Yusop, 43, pula berkata, keadaan itu bukan sahaja merimaskan malah bimbang dengan keselamatan diri.
Menurutnya yang sudah lapan tahun bekerja di kawasan itu, bilangan warga asing sejak akhir-akhir ini semakin ramai.
"Saya sentiasa risau lagipun saya perempuan, namun kerana nak mencari rezeki saya kena berani.
"Harap pihak berkuasa sering mengadakan operasi dan rondaan bagi mengawal kebanjiran warga asing," katanya.
Bagi pemandu e-hailing, Mohd Akrima Sukir, 50, dari Masjid Tanah mengakui sering mendapat tempahan pelanggan dalam kalangan warga asing berkenaan.
Namun dia turut mempersoalkan bagaimana warga asing terbabit boleh berniaga kerana tindakan itu akan menjejaskan perniagaan peniaga tempatan.
"Apa yang berlaku bukan di Plaza Melaka Sentral sahaja, malah beberapa kawasan lain seperti Sungai Udang.
"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera agar tidak berlaku seperti di Selayang," katanya.