TAWAU - Seekor buaya seberat 500 kilogram akhirnya ditangkap selepas hampir sebulan reptilia itu diburu oleh Jabatan Hidupan Liar di Sungai Pang Burung dekat sini.
Hari ini pada jam 8.30 pagi, reptilia ganas berukuran 4.27 meter itu ditemui masuk ke perangkap yang dipasang jabatan di kawasan sasaran.
Iklan
Iklan
Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau, Sailun Aris berkata, penangkapan buaya terbabit susulan laporan mengenai seorang warga emas maut dipercayai diserang buaya pada 23 April lepas.
"Kita pasang perangkap besi tidak jauh dari mayat mangsa ditemui dan hari ini buaya yang dipercayai menyerang warga emas itu berjaya ditangkap," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada 22 April lepas, seorang warga emas, Zainuddin Bedda, 61, warga Indonesia dilapor dibaham buaya di Sungai Pang Burung sebelum mayatnya ditemui keesokan hari dalam keadaan menyayat hati.
Mangsa, yang juga seorang pesara kilang sawit Pang Burung, dipercayai ke sungai pada 22 April jam 7 pagi untuk mengambil sayur di tebing sungai kecil Pang Burung.
Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah dan mayat mangsa ditemui pada keesokan hari oleh pasukan Bomba di Sungai Pang Burung.- Bernama