PENGENDALI England, Gareth Southgate mempertahankan Harry Maguire selepas penyokong Scotland secara sinis mengejek pemain pertahanan itu yang menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan persahabatan dimenangi England 3-1 di Hampden Park pada awal pagi Rabu.
Maguire yang memulakan perlawanan di bangku simpanan untuk England, dibawa masuk pada separuh masa kedua akibat kecederaan dialami Marc Guehi.
Bagaimanapun, dia berdepan ejekan daripada penyokong Scotland untuk setiap hantaran bola yang dilakukannya di atas padang.
Pemain pertahanan Manchester United itu juga secara tidak sengaja memberi Scotland gol apabila tertampan hantaran lintang pemain lawan ke gawangnya sendiri pada minit ke-67.
"Terdapat layanan yang tidak patut terhadapnya untuk tempoh yang lama.
"Ia adalah lawak jenaka. Saya tidak pernah kenal pemain yang dilayan sepertinya bukan saja oleh penyokong Scotland, tetapi pengulas perlawanan kami dan pengkritik, mereka mencipta sesuatu yang tidak pernah saya lihat," katanya.
Sebelum ini, Maguire telah dilucutkan jawatan kapten oleh kelabnya Manchester United pada Julai dan telah bergelut untuk berada dalam kesebalasan utama pasukan di Old Trafford.
Namun, Southgate mengakui Maguire adalah pemain penting untuk mereka dan telah beraksi dalam semua perlawanan kelayakan Euro 2024 mereka.
"Dia menjadi tonggak penting kami bagi pasukan kedua England yang paling berjaya sejak beberapa dekad lalu," katanya.