GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan cadangan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menggalakkan kemakmuran ekonomi, menghapuskan kemiskinan tegar, memerangi rasuah, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menangani krisis iklim.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, rancangan itu akan kekal sebagai pelan melainkan ia dilaksanakan dengan cekap dan berkesan untuk mencapai hasil yang diinginkan.
Menurutnya, lebih menggalakkan apabila ia tidak seperti Rancangan Malaysia sebelum ini apabila KSP memperuntukkan satu jawatankuasa khas untuk memantau pelaksanaan dan mengenal pasti halangan bagi mencapai sasaran KSP.
"Sumber yang diperuntukkan di bawah KSP bagi menaik taraf 1,200 klinik awam yang usang akan memberi manfaat kepada ramai golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk membayar rawatan di klinik dan hospital swasta.
"Pertambahan dana perlu diperuntukkan bagi penjagaan kesihatan awam untuk menambah baik kemudahan di hospital dan klinik awam yang memberi perkhidmatan kepada sebahagian besar penduduk.
"Pencegahan penyakit mestilah diberikan keutamaan yang tinggi melalui usaha bagi menjalankan program pendidikan dan kempen yang berkesan untuk menggalakkan kehidupan yang sihat," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Dalam soal keterjaminan makanan yang kini menjadi isu global kritikal, Mohaideen berkata, KSP meletakkan pertanian dan industri asas tani sebagai di antara lima sektor bernilai tinggi dengan pertumbuhan yang tinggi.
Katanya, ia adalah satu langkah yang bijak kerana pada masa lalu pertanian makanan adalah keutamaan yang rendah malah Malaysia terlalu bergantung kepada import makanan dan ini mestilah diperbetulkan untuk menjadi sebahagian besar keperluan makanan yang mencukupi untuk keperluan sendiri.
"Pihak berkuasa perlu memberi insentif kepada golongan muda khususnya graduan pertanian untuk menceburi bidang pertanian dan memperkenalkan inovasi bagi meningkatkan produktiviti ladang.
"Pertanian organik dan pertanian bandar mestilah digalakkan bagi memenuhi keperluan makanan. Koperasi petani boleh ditubuhkan di bandar untuk memasarkan hasil petani tanpa melalui orang tengah dan menyediakan makanan yang lebih murah kepada pengguna," katanya.
Dalam pada itu, Mohaideen berkata, perumahan merupakan satu masalah yang utama terutama sekali di bandar-bandar besar.
Beliau memuji matlamat KSP bagi menyediakan 500,000 rumah dalam jangkauan jangka pendek.
"Kita memerlukan dasar perumahan yang meletakkan tanggungjawab utama kepada kerajaan untuk menyediakan perumahan yang merupakan satu keperluan asas.
"Dasar semasa memberikan tanah negeri dan persekutuan kepada pemaju swasta di bawah perjanjian usaha sama untuk membina rumah dan kondominium yang kebanyakannya mahal untuk orang kaya mestilah dihentikan," tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar Lembaga Perumahan Negara perlu ditubuhkan untuk membangunkan unit perumahan dan perniagaan untuk dijual atau disewa.
Beliau berkata, ia perlu mengutamakan unit perumahan dan sewaan sosial terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, gelandangan dan pekerja yang datang ke pusat bandar untuk mencari pekerjaan.
Mengenai krisis iklim, beliau berkata, KSP yang menerima pakai pelan penyesuaian nasional bagi menangani kesannya adalah dipuji tetapi ia sudah lama tertangguh. Kerajaan mestilah memperuntukkan dana yang mencukupi bagi langkah-langkah mitigasi dan penyesuaian.
"Tidak boleh ada penebangan hutan dan pembangunan di lereng bukit dan tanah tinggi yang mudah terjejas.
"Segala cadangan aktiviti tebus guna pantai dan laut di Malaysia khususnya Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) yang dirancang kerajaan negeri Pulau Pinang mestilah ditolak," katanya.