URUMQI - Pengamal media dari 15 buah negara diundang ke wilayah autonomi Xinjiang bagi menyertai program Kembara ke Zon Teras Jalur Ekonomi Laluan Sutera anjuran Pejabat Penerangan Dewan Negara China.
Program lapan hari bermula Rabu itu menghimpunkan seramai 23 wartawan daripada pelbagai agensi berita termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Rusia, Perancis, Arab Saudi, Jepun dan Malaysia.
Ia memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi, etika, hal ehwal agama, perlindungan budaya serta aspek lain di Xinjiang.
Acara itu adalah percubaan terbaru China untuk memaparkan imej positif Xinjiang di tengah-tengah dakwaan pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Uighur dan minoriti Islam lain, ketika Beijing cuba mewujudkan pengaruhnya di Asia Tengah.
Beijing sebelum ini menafikan semua dakwaan pelanggaran hak asasi dan mengatakan bahawa dasarnya di Xinjiang adalah betul dan perlu.
Awal tahun ini, pegawai tertinggi Xinjiang berikrar untuk membawa lebih ramai pelawat asing dengan harapan dapat menjana publisiti yang baik untuk rantau tersebut.