SHAH ALAM - Gaji rendah dan sikap isteri suka merendah-rendahkan suami antara faktor golongan lelaki di negara ini berdepan risiko menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari segi penderaan emosi serta fizikal.
Pegawai Turus Bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Deputi Superintenden Norfidah Muhamad Dan berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan penderaan terhadap golongan itu.
Menurut beliau, keganasan rumah tangga bukan hanya tertumpu melibatkan penderaan fizikal, namun berkait emosi serta mental dan kaum lelaki tidak terkecuali boleh menjadi mangsa.
Ada situasi yang mana isteri merendah-rendahkan suami kerana faktor suami tidak bergaji tinggi sebagaimana isteri, dan begitu juga sebaliknya apabila perkara itu mengakibatkan gangguan emosi dan mental kepada mangsa.
"Mangsa akan tertekan dan merasakan hidupnya seolah-olah serba kekurangan, dan ini antara salah satu cabang atau aspek penderaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi program Sinar Live bertajuk 'Suami mangsa keganasan isteri?' sempena Seminar Memerangi Keganasan Rumah Tangga 2023 Polis Selangor di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut Norafidah berkata, perasaan malu selain takut reputasi terjejas antara faktor mangsa berasa khuatir untuk membuat laporan.
"Lelaki ada keegoan yang tersendiri, bayangkan di pejabat, dialah bos, sedangkan hakikatnya di rumah menjadi mangsa tekanan emosi dan mental daripada isteri menyebabkan mangsa malu untuk tampil buat laporan.
"Selain itu mangsa juga bimbang sekiranya laporan dibuat, perkara tersebut akan diketahui keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Menurutnya, mana-mana individu yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak kira wanita atau lelaki mempunyai hak untuk dilindungi seperti termaktub dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).
"Kalau dilihat definisi mangsa dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), jelas menunjukkan akta ini tidak membezakan mangsa keganasan melalui jantina.
"Laporlah kepada polis, usah malu atau bimbang. Setiap kes yang diterima akan dikendalikan dan disiasat menurut peruntukan sedia ada," katanya.