KUALA LUMPUR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 'tidak sempat membaca’ perjanjian royalti minyak melibatkan negeri Terengganu kerana"ada banyak benda nak urus”.
Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN - Marang) juga mendakwa, ketika mereka memerintah, ada banyak ‘kerengga’ mengganggu mereka sehingga menyaksikan berlakunya pertukaran perdana menteri beberapa kali.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu selepas soalan berkaitan royalti minyak kepada Terengganu dibangkitkan Lee Chean Chung (PH - Petaling Jaya).
Soalan itu timbul selepas Abdul Hadi menyentuh isu royalti minyak kepada Terengganu ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.
"Tadi disebut bahawa perjanjian itu tidak dipegang. Saya ingin tanya dalam dua tahun Perikatan Nasional memerintah, kenapa perjanjian itu tidak dikemas kini?
"Kekal zalim kepada rakyat Terengganu, kenapa tiada royalti lima peratus kepada rakyat Terengganu pada waktu itu?” soal Chean Chung.
Ini pula respons Abdul Hadi.
"Begini, sebenarnya kami ini banyak benda nak urus, macam-macam kena urus. Masa kami memerintah dulu, kerengga banyak sangat mengacau, nak jatuhkan kerajaan.
"Macam mana nak baca perjanjian (royalti minyak) ini. Kami terpaksalah pertahan kerajaan...terpaksa beberapa kali tukar perdana menteri.
"Belah kami banyak layak jadi perdana menteri, Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) boleh, Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh, Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) boleh.
"Belah sana seorang saja yang boleh jadi perdana menteri. Belah sini banyak...kalau belah sana datang sini, boleh ada banyak calon perdana menteri,” katanya. - Awani