Wanita dijel sembilan bulan cederakan ibu kandung

Iklan
Tertuduh, Norazima Azmi dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandungnya.

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal empat anak dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah menampar, menumbuk dan mencekik ibu kandungnya pada 4 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Norazima Azmi, 34, dari Manir di sini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya, Maziah Mohammad, 56, semasa berada di rumah di Kampung Padang Tengir, Manir, di sini, kira-kira jam 12.05 malam.

Iklan
Iklan

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh dipenjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full di hadapan Majistert Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, semasa mangsa sedang baring di bilik tidurnya, dia dikejutkan dengan kehadiran anak sulungnya (tertuduh) yang terus masuk ke dalam bilik.

Tanpa bersoal jawab, tertuduh bertindak menampar, menumbuk dan mencekik mangsa dengan tangannya sehingga mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu.

Selepas itu, tertuduh yang tinggal bersama mangsa terus melarikan diri dengan keluar dari rumah berkenaan sebelum mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Susulan laporan dibuat, tertuduh ditangkap pada hari sama kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Kampung Padang Tengir, Manir, di sini.