SHAH ALAM - Sanggup guna nombor plat palsu kerana mahu elak motosikal ditarik kedai kerana gagal lunaskan bayaran bulanan.
Itu antara kesalahan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi Op Khas Motosikal di Plaza Tol Seri Muda, di sini Isnin lalu.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi bermula jam 8 pagi hingga 11.30 malam yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Selangor, Mazlini Yusof itu mengesan kesalahan yang dilakukan penunggang wanita terbabit.
"Kita telah bertindak menyita motosikal terbabit untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 684 saman dikeluarkan pihaknya di mana kesalahan teknikal adalah tertinggi iaitu 196 kes, lesen memandu kompeten (CDL) (167 kes), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (109 kes), tiada insurans (106 kes) dan lain-lain kesalahan (106 kes).
Katanya, JPJ Selangor turut menyita 25 motosikal untuk tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pelbagai alasan diberi penunggang kerana tiada lesen memandu antaranya tiada masa, lesen mahal selain ada yang kata perjalanan dekat dan tiada keperluan untuk mengambil lesen memandu," ujarnya.
Tegasnya, penunggang motosikal diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan baik dan mengamalkan pemanduan secara berhemah.