SEGAMAT - Remaja yang terselamat dalam nahas enam sekeluarga maut membabitkan kemalangan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini 1 September lalu, masih belum diberitahu ibu bapa dan empat adik beradiknya sudah tiada.
Norhayati Noor Muhammad, 51, iaitu ibu saudara kepada Abdullah Amir Ruddin, 15, berkata, perkara itu masih dirahsiakan kerana keadaan anak saudaranya itu masih tidak stabil dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh doktor, kemungkinan besar apa yang terjadi ke atas Abdullah, dia tidak akan ingat.
"Ahli keluarga akan meminta nasihat pasukan perubatan sama ada untuk memberitahu kejadian yang meragut nyawa enam ahli keluarganya itu dalam masa terdekat atau sebaliknya.
"Buat masa ini, jika dia sudah baik dan pulih, kami fikir kena rujuk nasihat doktor sama ada kena beritahu hal sebenar seawal mungkin atau biar ingatannya pulih dahulu, kami tidak mahu ada kesan tidak baik ke atas kesihatan dia bila dia dapat tahu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Abdullah yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir di Muar merupakan satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan tersebut.
Kemalangan pada jam 6.37 petang itu meragut nyawa ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, dan bapa, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik beradiknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Kejadian berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemelah di sini untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.
Namun setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Azla dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.
Mengulas lanjut, Norhayati berkata, pembedahan pada bahagian muka dan tangan Abdullah yang dijadualkan pada minggu ini terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat jangkitan kuman pada bahagian kerongkong dan paru-paru anak saudaranya itu.
"Pembedahan untuk membetulkan rahang kiri dan kanan Abdullah yang retak atau patah serta memasukkan besi pada tangannya ditangguhkan sebab dia ada jangkitan kuman dekat kerongkong serta merebak ke paru-paru.
"Jadi doktor sedang pulihkan jangkitan itu dengan memasukkan antibiotik untuk mematikan kuman itu dulu, bila sudah baik nanti akan buat pembedahan," katanya.
Jelasnya yang merupakan seorang guru agama, Abdullah yang masih berada di ICU hospital tersebut sudah menunjukkan perkembangan positif.
Katanya, wayar yang dipasang pada badan Abdullah dan alat bantuan pernafasan daripada mesin oksigen sudah pun ditanggalkan.
Tambahnya, Abdullah juga sudah memberi respon dengan membuka mata apabila namanya dipanggil selain dapat menggerakkan anggota badannya.
"Alhamdullillah dia juga dapat membuka mata apabila kami ahli keluarga memanggil namanya, dia beri respon kepada suara-suara yang dia kenal.
"Doktor ada cakap tengok keadaan dia untuk dua minggu ini, jika keadaan lebih baik dan stabil, jika pembedahan tidak dibuat lagi, dia kemungkinan dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar," katanya.