Kelewatan komuter disebabkan kerja-kerja naik taraf

Iklan
Isu gangguan atau kelewatan waktu perjalanan perkhidmatan komuter kendalian KTMB adalah disebabkan pelaksanaan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) Fasa Satu dan Dua. Gambar kecil: Mohamed Suhaimi

KUALA LUMPUR - Isu gangguan atau kelewatan waktu perjalanan perkhidmatan komuter kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah disebabkan pelaksanaan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) Fasa Satu dan Dua.

Ketua Pegawai Korporat KTMB, Mohamed Suhaimi Yaacob berkata, kerja-kerja menaik taraf terpaksa mengambil tempoh yang lama disebabkan perkhidmatan operasi tren tidak dihentikan sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, kita meletakkan kekerapan tren komuter pada waktu puncak ialah 30 minit dan kita berharap ia akan kembali semula kepada 15 minit selepas kerja-kerja naik taraf ini selesai," katanya kepada pemberita selepas memeterai perjanjian kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) antara KTMB dengan AirAsia Ride pada Rabu.

MoU itu ditandatangani oleh Mohamed Suhaimi mewakili KTMB dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau AirAsia Ride, Lim Chiew Shan.

Iklan

Fasa pertama KDVT, yang bermula pada 2016, membabitkan naik taraf sistem kerja antara Rawang dan Seremban dan dari Sentul ke Pelabuhan Klang bagi jarak sejauh kira-kira 150 kilometer (km), dijangka siap hujung tahun ini.

KVDT2 pula yang bermula awal tahun ini, membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api KTMB sejauh 265 km meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, dan dijangka siap pada 2027.

Iklan

Sementara itu, Mohamed Suhaimi berkata, pengguna KTMB untuk perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter berpeluang menikmati pilihan lebih baik untuk ke atau dari 80 stesen KTM di Lembah Klang dan Wilayah Utara melalui kolaborasi strategik bersama AirAsia Ride.

"Kita mengalu-alukan kerjasama bersama penyedia perkhidmatan e-hailing bagi mengoptimumkan ‘first and last mile connectivity’ kepada penumpang.

"Perkongsian ini menggariskan komitmen kita untuk menyediakan bukan sahaja perkhidmatan tren, tetapi juga melancarkan perjalanan ke destinasi tanpa kebimbangan," katanya.

Bagi meraikan kerjasama itu, AirAsia Ride akan memberikan diskaun RM3 sehala kepada pengguna KTMB dari atau ke 80 stesen KTM di Lembah Klang dan Wilayah Utara yang memberikan penjimatan hingga RM6 sehari bermula hari ini hingga Ogos 2024, dengan memasukkan kod promo KTMRIDE bagi menikmati diskaun. - Bernama