Kerajaan akan pastikan peralihan tenaga adil untuk tarik pelaburan

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan peralihan tenaga yang adil untuk menarik pelaburan berkualiti dan melabur dalam tenaga kerja masa hadapan, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Yatimah Sarjiman.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha ini tidak dapat dilakukan tanpa kerjasama dan sokongan daripada sektor swasta.

Iklan
Iklan

"Dengan bekerjasama, kita boleh menangani sebarang cabaran dan membuka laluan baharu pertumbuhan," katanya dalam ucapan perasmian beliau pada persidangan dan pameran Minyak dan Gas Asia 2023 (OGA 2023) pada Rabu.

Yatimah memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk menyokong industri tenaga sebagai sektor kritikal kerana ia kekal sebagai tonggak penting bagi pembangunan ekonomi Malaysia.

Iklan

Beliau berkata, pelan kemampanan yang berkaitan dengan industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) juga akan dirumuskan untuk melaksana pelarasan struktur dan penjajaran semula OGSE dalam era peralihan tenaga.

Menjelang 2030, industri OGSE dianggar memerlukan kira-kira 60,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memastikan kemampanan dan keupayaannya untuk menyumbang secara positif kepada industri minyak dan gas Malaysia.

Iklan

"Sehubungan itu, inisiatif pembangunan tenaga kerja OGSE telah mempromosikan peluang pekerjaan dan pembinaan kapasiti OGSE untuk membantu peningkatan kemahiran dan pensijilan tenaga kerja selaras dengan keperluan industri," katanya.

"Ketika Malaysia bergerak ke arah rantaian nilai peralihan tenaga dan menyasar untuk menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti, beliau menegaskan bahawa adalah sama penting juga untuk menyediakan tenaga kerja masa depan kerana industri minyak dan gas adalah antara industri yang menggunakan analisis data canggih, robotik serta kecerdasan buatan (AI).

"Oleh itu, kerajaan juga peka tentang keperluan untuk terus melabur dalam membangunkan tenaga kerja mahir tempatan. Kerajaan kita komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti, latihan vokasional dan program peningkatan kemahiran untuk melengkapkan rakyat dengan kepakaran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap tenaga yang sentiasa berkembang," katanya.

OGA 2023 edisi ke-19 berlangsung dari 13-15 September 2023.

Acara persidangan dan pameran itu disertai 2,000 syarikat tempatan dan asing, tujuh pavilion antarabangsa dari Korea Selatan, Jerman, Singapura, United Kingdom, China, Itali dan Amerika Syarikat serta dikunjungi lebih 25,000 pengunjung dari lebih 60 negara. - Bernama