KAJANG - Detik terjatuh ke sungai sedalam hampir 27 meter dan hampir lemas ketika operasi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan di Perak tidak mungkin dapat dilupakan buat seorang bekas anggota pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Taijuddin Haron, 74.
Baginya, kejadian tersebut sentiasa tergambar dalam fikirannya setiap kali mengenangkan kisah semasa dia berkhidmat dalam Pasukan Komando VAT 69 (VAT 69) dari tahun 1969 sehingga bersara pada 2004.
"Masa itu saya berusia dalam lingkungan 20-an. Pasukan kami seramai enam orang telah ditugaskan untuk mengesan pengganas komunis dengan anggaran kekuatan 50 orang di sebuah kawasan perkampungan.
"Semasa menjejaki pengganas ini, pasukan kami telah menyeberangi sebatang sungai. Bagaimanapun, semasa berada di dalam air, saya terpijak lubang dan terjatuh sebelum dibawa arus deras,” katanya kepada Sinar Harian.
Melanjutkan kisahnya itu, Taijuddin memberitahu dia ada terfikir akan kehilangan nyawa, namun cuba untuk keluar daripada air dengan berbekalkan latihan serta pengalaman yang diperolehnya sebagai anggota VAT 69.
"Alhamdulillah, latihan komando yang saya dipelajari, saya praktikkan dan berjaya menyelamatkan diri daripada arus deras dengan berpaut pada kayu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Taijuddin menceritakan hasratnya untuk menjadi anggota tentera pada mulanya namun dia membatalkan hasrat tersebut selepas tidak digalakkan oleh saudaranya kerana berisiko serta bahaya.
Ironinya, apabila menyertai PDRM katanya, dia telah ditempatkan dalam pasukan VAT 69 yang mana tugasnya turut berisiko serta mencabar.
"Apabila operasi hutan, kadang-kadang duduk antara satu hingga enam bulan untuk memburu dan menumpaskan pengganas komunis. Sampai ada satu tahap ibu saya tertanya-tanya sama ada saya telah hilang kerana tidak pulang-pulang,” katanya yang menyifatkan ketika itu tiada teknologi ketenteraan yang canggih seperti yang ada pada hari ini.
Rasa sayu
Mengulas lanjut mengenai penugasannya dalam pasukan VAT 69, Taijuddin berkata, dia pernah terlibat sebagai anggota medic (perubatan) dalam misi menyelamatkan anggota tentera yang bertempur dengan pengganas komunis antaranya di Taman Templer, Rawang, Selangor serta di Kelantan.
"Memang sayu dan sedih melihat anggota tentera kita cedera parah sehinggakan ada nampak organ dalaman badan. Namun, saya gembira serta syukur apabila ada di antara mereka (anggota tentera) berjaya diselamatkan dan hidup sehingga ke hari ini,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Taijuddin menerima kunjungan program Jejak Wira 3.0 Sinar Harian bersama LBS Bina Group Berhad (LBS) dan Hospital Pakar KPJ Kajang (KPJ) pada Rabu.
Dalam kunjungan itu, LBS diwakili oleh Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat, Media dan Digital, Amal Abdul Aziz serta Ketua Unit Perhubungan Awam dan Media, Norazian Abdul Aziz manakala KPJ diwakili Dr Mohd Fitter Baharom.
Dalam masa sama, Taijuddin turut menerima pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh Dr Mohd Fitter dan pasukan perubatan KPJ.
Malah, beliau turut terharu serta berterima kasih kepada pihak Sinar Harian, LBS dan KPJ yang mana beliau menyifatkan masih ada lagi pihak yang menghargai jasa serta pengorbanan bekas anggota keselamatan sepertinya.
Penghargaan
Sementara itu, Amal ketika mengulas mengenai kunjungan Jejak Wira 3.0 Sinar Harian bersama LBS dan KPJ ke kediaman Taijuddin di sini memberitahu, program tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 dan Hari Malaysia Ke-60.
"Program ini memberi peluang kepada kita untuk mendengar kisah-kisah wira negara yang berjuang untuk negara. Program seperti ini adalah perlu untuk mengenang jasa perwira negara. Lebih-lebih lagi, kita masih di dalam bulan kemerdekaan, oleh itu wajar kisah-kisah seumpama ini dipaparkan untuk tatapan umum.
"Seiring dengan matlamat LBS yang mengutamakan masyarakat di dalam setiap projeknya, kami sentiasa prihatin tentang kebajikan mereka. Sumbangan yang disampaikan hari ini adalah sebagai tanda penghargaan ke atas jasa serta khidmat bakti yang telah wira negara sumbangkan,” katanya yang turut memaklumkan program tersebut akan diteruskan lagi pada masa depan.
Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Fitter memberitahu, KPJ amat menyanjungi bakti Taijudin kepada negara dan sentiasa berharap bekas anggota VAT 69 itu kekal sihat.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan kesihatan ke atas Taijudin, beliau mendapati wira negara itu menghidap penyakit kencing manis serta kolesterol tinggi.
Malah, berdasarkan rekod kesihatan, Taijuddin juga didapati memiliki ketumbuhan di bahagian hempedu dan pernah membuat pemeriksaan di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.
"Wira negara ini kini sedang menerima rawatan di Institut Kanser Negara Putrajaya dan telah melengkapkan enam kali rawatan kemoterapi.
"Alhamdulillah, keadaan beliau bertambah baik dan sama-sama kita doakan beliau kembali pulih serta dapat jalani kehidupan hariannya seperti biasa,” ujarnya.