SHAH ALAM - Umat Islam perlu meningkatkan iman kepada ALLAH dan jangan mudah terpengaruh dengan kepercayaan karut berhubung dakwaan berlaku bencana pada hari terakhir Rabu bulan Safar.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan, tindakan mempercayai tentang kesialan atau pesimistik terhadap mana-mana hari, bulan atau waktu tertentu adalah berasal daripada budaya pra-Islam iaitu zaman jahiliah.
Menurutnya, kedatangan agama Islam menghapuskan semua kepercayaan tersebut dan mengajar umatnya supaya menyerah nasib diri kepada ALLAH.
"Masyarakat pada zaman tersebut percaya bulan Safar akan berlaku banyak bencana, kemalangan dan kejadian-kejadian buruk menyebabkan mereka tidak melangsungkan pernikahan dan menjalankan aktiviti perniagaan kerana takut rugi.
"Pada era sebelum Tanah Melayu, masyarakat memang terbawa-bawa dengan kepercayaan ini sehinggakan mereka meminta pertolongan warak atau soleh supaya menulis doa tertentu pada kertas.
"Ada juga yang menulisnya pada pinggan lalu airnya di minum yang bertujuan untuk menolak bala.
Amalan sedemikian dikatakan bersandarkan kepada nabi, namun ia merupakan hadis palsu yang direkakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai dakwaan diturunkan 320,000 bala, musibah, bencana dan semua itu bakal berlaku pertama kali pada Rabu terakhir bulan Safar.
Menerusi hantaran yang dimuat naik pengguna di TikTok, rata-rata menganjurkan untuk membaca doa tolak bala dan tingkatkan amalan bersedekah untuk menghindar musibah tersebut.
Tambah Wan Salim, amalan khurafat yang bertitik tolak dari kepercayaan syirik itu perlu dielakkan untuk memelihara kemurniaan akidah umat Islam.
"Tidak akan berlaku musibah dan bencana jika tidak diizinkan ALLAH serta perkara yang berlaku adalah mengikut qada dan qadar
"Saya menasihatkan umat Islam supaya tidak menghidupkan semula budaya ini yang hampir dilupai sejak puluhan tahun.
"Mereka perlu meningkatkan ilmu dan kefahaman tentang ajaran Islam yang sebenar,” ujarnya.