AMPANG - Berang ditanya beberapa kali mengenai hutang makan yang masih belum dibayar, seorang lelaki tempatan bertindak menyerang lelaki warga asing sehingga mengalami kecederaan dan bengkak dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Pandan Utama pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian pada kira-kira 6 petang berlaku ketika mangsa yang merupakan pekerja restoran berusia 34 tahun telah dipanggil suspek yang sedang melepak di bengkel motosikal bersebelahan dengan restoran tempatnya bekerja.
Beliau berkata, mangsa datang berjumpa dengan suspek di bengkel tersebut, namun secara tiba-tiba suspek membaling rantai besi bersama dengan kunci mangga ke arahnya, selain cuba memukul kepala mangsa menggunakan rantai besi.
"Suspek juga menarik mangsa dan mengacukan pisau, namun telah ditahan oleh pekerja restoran.
"Mangsa mengalami kecederaan sakit dan bengkak pada jari telunjuk sebelah kiri dan jari kelingking sebelah kanan.
"Mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ekoran kejadian itu, katanya, sepasukan anggota polis menjalankan rondaan telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan berhampiran tempat kejadian pada hari sama.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah, namun tiada dalam senarai dikehendaki polis.
Tambahnya, ujian awal saringan air kencing suspek adalah positif dadah jenis benzo.
Selain itu kata beliau, polis turut merampas seutas rantai berserta padlock berukuran 44 inci dan pisau pemotong daging.
Jelasnya, permohonan tahanan reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari sehingga 16 September ini.
"Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
"Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Tegasnya, pihak polis memberi amaran dan menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.