Pekebun durian jumpa kesan tapak harimau

Iklan
Sheau Hoong menunjukkan gambar tapak harimau yang sempat dirakam di kebun duriannya di Ulu Piah pada Ahad.

IPOH - Lebih 20 pekebun sekitar Ulu Piah, Sungai Raia dekat Simpang Pulai bimbang dengan kemunculan haiwan liar dipercayai harimau belang yang berkeliaran di kawasan itu sejak seminggu lalu.

Cheong Sheau Hoong, 43, berkata, kebimbangan itu berasas apabila dia menemukan beberapa kesan tapak kaki haiwan pemangsa itu di kawasan kebunnya pada Ahad lalu.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini saya dengar daripada pemilik kebun sebelah yang dia jumpa kesan tapak kaki itu dan saya ingatkan haiwan itu sudah kembali ke kawasan hutan simpan berhampiran.

"Saya terkejut apabila jumpa kesan baru di kebun saya. Saya tahu ia bukan anjing kerana ia lebih besar dari tapak tangan," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Iklan

Dia yang juga seorang peniaga berkata, kesan itu pertama kali dilihat selepas lebih setahun mengusahakan kebun durian.

"Selepas jumpa kesan tapak itu sudah pasti saya takut untuk turun ke kebun walaupun di siang hari. Saya akan berjaga-jaga kerana bimbang terserempak dengan haiwan ini," katanya.

Iklan
Kesan tapak kaki dipercayai harimau belang dijumpai pekebun di Ulu Piol pada Ahad. - Foto ihsan pembaca

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kehadiran haiwan liar itu.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan kesan tapak haiwan itu.