Empat kereta terbabas, minyak pelincir tumpah

Iklan
Antara kereta yang terlibat kemalangan di susur menghala ke Jalan Persiaran Timur, Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Empat kereta terbabas selepas tong dibawa sebuah lori terjatuh mengakibatkan minyak pelincir tertumpah dalam kejadian di susur menghala ke Jalan Persiaran Timur, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu berlaku pada jam 3.53 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Kajang, Selangor.

"Semasa melalui jalan itu, satu tong tidak berikat yang dibawa lori terbabit telah terjatuh hingga akibatkan minyak tertumpah di atas jalan.

Iklan

"Tumpahan minyak itu mengakibatkan empat kereta jenis Perodua Myvi, Proton Savvy, Perodua Axia dan Mercedes Benz terbabas," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, tiada kecederaan pada kesemua pemandu dalam insiden itu, namun kesemua kenderaan mengalami kerosakan.

Iklan

Katanya, polis telah merakam keterangan terhadap kesemua pemandu terlibat.

"Pemandu lori terbabit telah dikenakan tindakan saman mengikut Rule 92A LN 170/59," ujarnya.