Konsep Ekonomi Madani raih minat pelabur global di Singapura

Iklan
Anwar pada sidang media selepas Sesi Khas Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023 di Singapura pada Rabu.

SINGAPURA - Konsep Ekonomi Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan meraih perhatian dan minat daripada kalangan pelabur global yang turut menyokongnya dalam memacu pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, minat itu dizahirkan dalam perjumpaan tertutupnya bersama pelabur global yang berpangkalan di Singapura pada Rabu.

Iklan
Iklan

Beliau turut memanfaatkan pertemuan itu sebagai peluang untuk menjelaskan beberapa parameter, dasar dan kerangka bagi menyokong konsep ekonomi baharu itu.

"Lebih menarik apabila ramai kalangan mereka bertanya mengenai Ekonomi Madani,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan kerja sehari di sini, pada Rabu.

Iklan

Beliau berada di sini, antara lain, bagi menghadiri undangan badan pemikir, Milken Institute, untuk berkongsi pandangan dengan tumpuan dalam menarik pelaburan dari luar negara ke Malaysia.

Ketika ditanya sama ada kalangan pelabur itu menyukainya, beliau berkata,"mereka amat menyokong”.

Iklan

Beliau berkata pelabur melihat Malaysia berada di persimpangan, sama ada terperangkap dengan masa lampau atau bergerak maju selain menerima hakikat bahawa kerajaan baharu di Malaysia kini telah memulakan langkah baharu.

"Perkara yang menggembirakan adalah wujudnya peningkatan fenomena bukan hanya dari segi minat malah juga potensi pelaburan ke Malaysia. Boleh saya katakan anda boleh menjangkakan pengumuman menggembirakan tidak lama lagi,” katanya.

Pada Julai lepas, Anwar melancarkan kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, sebagai asas kukuh untuk memacu ekonomi Malaysia.

Pentadbiran Anwar baru-baru ini juga mengumumkan beberapa perkara penting yang menarik perhatian pelabur seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030; Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara; serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, para pelabur juga melihat semua pengumuman itu sebagai satu peralihan.

"Mereka juga melihat bahawa ini (beberapa pengumuman baru-baru ini) adalah peralihan daripada rangka kerja atau dasar lama kepada beberapa pelarasan baharu yang perlu untuk memartabatkan dan melonjakkan negara sebagai kuasa ekonomi utama,” katanya.

Anwar berkata, ramai juga pelabur yang membangkitkan soalan berkaitan gelombang pengaruh parti pembangkang di beberapa negeri.

"Tetapi saya berpandangan mereka sudah cukup berpuas hati sekarang bahawa kerajaan mempunyai hampir dua pertiga (majoriti)...sebuah kerajaan yang kuat dan majoriti yang akan kekal insya-Allah selama empat tahun.

"Perkara yang boleh dikatakan adalah pembangkang ini tidak boleh merentas ke negeri-negeri selatan...yang pada fikiran saya, sangat meyakinkan untuk mencadangkan bahawa kita mempunyai kapasiti untuk menangani naratif sedemikian melalui program ekonomi dan inisiatif pembaharuan kita,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa Malaysia kini mempunyai dasar yang lebih jelas untuk menarik FDI dan boleh menjadi lebih baik berbanding era 90-an.

Kali pertama lawatan Anwar sebagai Perdana Menteri ke Singapura adalah pada Januari lepas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berada di republik ini untuk menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute.

Sesi satu jam pertama iaitu A Conversation with the Prime Minister of Malaysia dikendalikan oleh Pengacara dan Ketua Koresponden Antarabangsa bagi Asia Tenggara, Bloomberg, Haslinda Amin.

Ia kemudian diikuti dengan sesi 45 minit, Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors dengan Pengerusi Asia Milken Institute, Robin Hu, sebagai moderator.

Badan pemikir, Milken Institute yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat merupakan badan bukan berasaskan keuntungan dan tidak berpihak, menumpukan kepada mempercepat kemajuan untuk kehidupan yang bermakna. - Bernama