Bekas jurulatih selam nafi ugut, khianat warga emas

Iklan
Gambar hiasan

PETALING JAYA - Seorang bekas jurulatih selam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dan membuat ugutan terhadap seorang lelaki warga emas di Plaza Tol Sungai Besi bulan lalu.

Radzuan Ismail, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan menarik pintu kereta Proton Satria Neo kepunyaan Azahari @ Lah Ismail, 72, sehingga pemegang pintu tercabut.

Dia juga didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap warga emas.

Iklan

Kedua- dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Lorong Smart Tag, Plaza Tol Sungai Besi, jam 2.45 petang, pada 20 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membenarkan bapa kepada dua anak itu dijamin sebanyak RM4,000.

Sebagai syarat tambahan, lelaki itu diperintah agar tidak mendekati mangsa.

Kes akan disebut semula pada 17 Jun depan.