Jual beras harga mengelirukan, premis di Seri Kembangan diserbu

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Sebuah premis terkemuka di Seri Kembangan diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 September lepas kerana menjual beras jenama Bird of Paradise Super Siam 10 kilogram pada harga mengelirukan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan dilakukan susulan aduan orang awam yang mendakwa harga yang dipamerkan pada tanda harga beras itu adalah RM52.40 manakala harga yang dicetak pada plastik pembungkus beras adalah RM48.80, melibatkan perbezaan harga sebanyak RM3.60.

Iklan
Iklan

"Anggota penguat kuasa telah bertindak melakukan imbasan harga pada mesin pengimbas harga di premis berkenaan dan mendapati harga yang tertera melalui imbasan tersebut adalah RM52.40 berbanding harga pada pembungkus beras itu RM48.80," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Armizan berkata, tindakan kes yang diambil pasukan serbuan adalah di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) iaitu memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga apa-apa barang atau perkhidmatan.

Iklan

Akta 599 memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi mana-mana pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.

Armizan berkata, KPDN juga akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

Iklan

Jika sabit kesalahan di bawah Akta 730, mana-mana individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000.

Mengenai Ops Jamin yang dilaksanakan dengan kolaborasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Armizan berkata, sebanyak 2,253 pemeriksaan telah dilakukan dari 7 Julai hingga 12 September lepas di seluruh negara melibatkan pelbagai rantaian pengedaran termasuklah di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit serta menerima 121 aduan dalam tempoh sama.

Ops Jamin dilancarkan bagi membanteras isu penukaran label kampit beras, yang dikhuatiri berlaku berikutan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI). - Bernama